
Jurucakap kementerian berkata, terdapat dua perintah warta yang menyenaraikan barangan dikecualikan dan dikenakan cukai sebanyak 5%: Perintah Cukai Jualan (Barang Dikecualikan Daripada Cukai Jualan) 2025 dan Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai Jualan) 2025.
“Barangan yang tidak termasuk dalam dua senarai itu dikenakan cukai sebanyak 10%.
“Makanan asas terpilih yang diimport seperti beras, gandum, gula, garam dan daging dikecualikan kerana ia dianggap sebagai keperluan asas.
“Minyak sawit buatan tempatan dan import juga dikecualikan,” katanya.
Jurucakap itu juga berkata, walaupun kadar 5% digunakan untuk gula mentah – ditakrifkan sebagai ‘gula tebu atau bit dan sukrosa tulen secara kimia dalam bentuk pepejal’ – kadar 0% terpakai untuk gula ditapis.
Pada Isnin, kementerian mengumumkan kadar cukai jualan 0% untuk keperluan asas akan dikekalkan manakala kadar 5% hingga 10% akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan mulai 1 Julai.
Cukai perkhidmatan akan diperluaskan termasuk sewa, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
“Peluasan ini bagaimanapun akan disertakan dengan beberapa pengecualian untuk mengelakkan cukai berganda dan memastikan rakyat Malaysia tidak dikenakan cukai untuk perkhidmatan tertentu,” kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.