
Bagaimanapun, tertuduh Mohd Fairuz Al-Fatah Badarudin, 40, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut semua pertuduhan, Fairuz didakwa memalsukan dokumen ‘Authorisation Letter’ berjumlah RM826,481.29 bagi tujuan menipu di sebuah bank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, antara 20 Jun 2022 hingga 10 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Sivajothi Pillai, yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi latihan penerbangan berpendapatan RM2,600 sebulan.
“Tertuduh juga perlu menyara dua anak kembar berusia 10 tahun manakala isterinya tidak bekerja selepas terbabit kemalangan menyebabkannya patah kaki kiri selain tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 17 Julai ini.