3 lelaki gagal lolos, polis temu bahan letupan buatan sendiri, dadah

3 lelaki gagal lolos, polis temu bahan letupan buatan sendiri, dadah

Suspek cuba melarikan diri daripada sekatan polis, namun kereta dinaiki merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad, berkata antara dadah ditemui adalah kokain seberat 77.10g, ganja (49.28g), MDMA (54.07g), ketamin (30.18g) dan pil yaba (3.20g). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bahan letupan buatan sendiri (IED) antara ditemukan susulan tindakan tiga lelaki yang sebelum itu cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, awal pagi ini.

Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad, berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda, IPD Serdang sedang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Putra Permai dari arah Sierra 16 menghala ke Seri Kembangan.

Katanya, kereta Honda Civic berwarna kelabu bertindak memecut laju ke arah Seri Kembangan, namun hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan lalu terbalik, dekat persimpangan Jalan Suakasih ke Lebuhraya Kajang SILK.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui pelbagai jenis dadah disyaki kokain seberat 77.10g, ganja (49.28g), MDMA (54.07g), ketamin (30.18g), pil yaba (3.20g), pil ecstasy (3.40g), dan pil Eramin 5 (0.98g).

“Turut ditemui satu objek berwarna kelabu yang dibalut plastik lutsinar mengandungi komponen besi dan skru bersama satu gulung wayar dan satu unit bateri motosikal yang dipercayai peranti bahan letupan buatan sendiri (IED),” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, tiga lelaki tempatan berkenaan berusia 40 hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, dua daripada mereka mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya turut dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Ketiga-tiga suspek kini diserahkan kepada IPD Kajang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.