Petronas kurangkan pekerja demi lebih optimum, landskap industri tak seperti 90-an, kata Shahril

Petronas kurangkan pekerja demi lebih optimum, landskap industri tak seperti 90-an, kata Shahril

Pendapatan berbanding pekerja (RPE) Petronas juga perlu diambil kira dengan syarikat minyak dunia lain turut mengurangkan tenaga kerja.

petronas-HQ
Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan turut memuji strategi komunikasi Petronas menangani ‘keputusan tidak popular’ memberhentikan pekerja agar ia tidak mengejut. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Keputusan Petronas memberhentikan 5,000 pekerja dilihat sejajar situasi global industri minyak dan gas yang mencabar, selain mengambil kira jumlah pendapatan berbanding pekerja (RPE).

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan dalam audio siar Keluar Sekejap, berkata RPE Petronas pada 2015 adalah RM6 juta, iaitu jauh lebih kecil berbanding ExxonMobil, iaitu USD6 juta.

“Petrobras (di Brazil) secara kasar RPE USD2 juta hingga USD3 juta, lebih baik daripada Petronas. Pertamina (milik Indonesia) sekitar USD1.5 juta hingga USD2 juta.

“Secara rambang dan rawak untuk mendapatkan metrik segera, sekurang-kurangnya pada peringkat makro, ada hujah mengatakan bahawa ada keperluan dan peluang untuk lebih optimum.,” katanya dalam audio siar bersama Khairy Jamaluddin.

Shahril berkata, kita perlu menerima hakikat landskap minyak dan gas kini sangat berbeza.

“…dan kita tak boleh lihat Petronas ini wujud dalam tahun 90-an misalnya, di mana struktur kosnya berbeza, kemudahan ataupun kesusahan teknikal untuk eksplorasi minyak itu mungkin rendah dengan sekarang,” katanya.

Katanya, syarikat-syarikat minyak besar lain juga mengambil langkah sama mengurangkan pekerja walaupun pengeluaran minyak dan gas mungkin pada tahap tinggi.

“Tetapi, jumlah pekerja yang diperlukan memang sudah menurun.”

Beliau berkata, di Amerika Syarikat contoh paling jelas jumlah pengeluaran tong minyak adalah banyak, namun pekerjaan dalam industri berkenaan berkurangan.

“Maka, ada ‘productivity gain’ yang memang menjadi lumrah dalam industri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata syarikat minyak milik negara itu akan mengurangkan sekitar 5,000 pekerja, kesan keuntungan Petronas merosot 32% pada 2024, selepas mencatatkan penurunan 21% pada 2023.

Bloomberg melaporkan cabaran itu dijangka berterusan tahun ini, sebahagiannya disebabkan penurunan berterusan harga minyak mentah Brent.

Dalam pada itu, Shahril memuji bahagian komunikasi korporat Petronas dalam menguruskan isu pemberhentian pekerja yang semestinya ‘tidak popular’.

“Keputusan yang ‘confirm’ (sudah tentu) tak popular…sekurang-sekurantgnya ada libat urus ataupun ada kenyataan daripada Tengku Taufik berbulan-bulan sudah (sebelum ini) memberi gambaran (pengurangan pekerja).

“Jadi, ada hujah awal bila jadi sekarang bila diumumkan ia tidak mengejut. Saya rasa ada kredit perlu kita berikan kepada strategi komunikasi Petronas dalam hal ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.