
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhi hukuman itu selepas bekas personaliti televisyen berusia 45 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah, sebaik pertuduhan dibacakan semula.
“Faham, mengaku (bersalah),” katanya menurut Berita Harian.
Mahkamah turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, ahli perniagaan itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar-masuk kenderaan serta CCTV milik sebuah kondominium di Taman U-Thant, di Kuala Lumpur, pada 7.44 dan 7.45 petang, 28 Julai 2023 yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM4,700.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Faiz Kamal Jaafar memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda atas alasan Norjuma tidak bekerja dan menyesal dengan perbuatannya.
“Anak guam masih sambung belajar di universiti tempatan dan ditanggung sepenuhnya oleh bapanya yang juga pesara kerajaan.
“Kini, anak guam hanya mampu membayar denda sekitar RM1,000 untuk dua pertuduhan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian dan jenayah kerana merosakkan harta kondominium itu.
Pada 19 Mei, Norjuma turut didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mencakar dan menampar seorang wanita.
Pada 25 April 2024, Norjuma didakwa atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.
Mengikut tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, Norjuma didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Brickfields, pada 3 petang, 29 Mac 2018.
Beliau turut didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 8.43 malam, 21 Feb 2017.
Norjuma juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju, pada 10.30 pagi, 18 Okt 2021.