Lokasi nahas UPSI dikenal pasti untuk naik taraf tahun ini, kata Nanta

Lokasi nahas UPSI dikenal pasti untuk naik taraf tahun ini, kata Nanta

Pelbagai inisiatif juga telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik laluan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT04, kata menteri kerja raya.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya akan beri komitmen penuh dalam memastikan infrastruktur jalan raya selamat dan selesa untuk pengguna. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam adalah antara seksyen di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang telah dikenal pasti bagi kerja naik taraf tahun ini dengan peruntukan RM55 juta.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, pelbagai inisiatif juga telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik laluan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT04 itu.

Katanya, pada Jun 2023, peruntukan RM30 juta diluluskan untuk membina semula sebahagian laluan di JRTB, dan dua bulan selepas itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk menaik taraf laluan itu.

“Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT04,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, antara kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk menurap semula jalan serta pembaikan kemudahan, jambatan, lampu jalan dan lampu isyarat di kedua-dua arah laluan.

Semua kerja naik taraf di di FT04 disiapkan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 melibatkan kos RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui ‘Pavement Condition Assessment (PCA)’, tambahnya.

Pada 2024 pula, sejumlah RM7.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain di laluan itu.

Nanta berkata, walaupun siasatan polis berhubung kemalangan maut itu masih berjalan, beliau menerima pelbagai reaksi berkaitan keadaan laluan jalan raya itu seperti yang tular di pelbagai platform media sosial.

“Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kementerian akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan infrastruktur jalan raya adalah selamat dan selesa untuk pengguna jalan raya.

“Pada masa sama, perlu saya tekankan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua, termasuklah pengguna jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.