
Ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berpendapat, tiada keperluan mendesak untuk memberikan jawatan menteri kepada parti yang tidak memegang banyak kerusi, seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), MCA dan MIC.
“Jika setiap parti menuntut jawatan menteri walaupun hanya ada satu kerusi Parlimen, dan Anwar melayan kehendak tersebut, ia akan mencalar imej kerajaan.
“Anwar akan dilihat sebagai terlalu mudah tunduk kepada tuntutan,” katanya.
Mazlan berkata, Anwar perlu memastikan saiz Jemaah Menteri tidak terlalu besar untuk elak kemarahan pengundi, yang akan membandingkannya dengan pentadbiran negara-negara maju yang jauh lebih besar tetapi mempunyai saiz kerajaan yang lebih kecil.
Katanya, walaupun perdana menteri mempunyai pilihan untuk mengecilkan kuota parti-parti komponen utama, langkah tersebut berisiko mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti yang berpengaruh, situasi yang seboleh-bolehnya harus dielakkan.
Justeru, beliau menyarankan agar parti-parti kecil seperti MIC, MCA dan PBM diberikan peranan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi utama “seperti jawatan pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang pernah disandang oleh Tengku Zafrul Aziz”, katanya kepada FMT.
Usul supaya semua parti komponen kerajaan dilibatkan dalam Jemaah Menteri disuarakan oleh Presiden PBM Larry Sng menjelang rombakan Jemaah Menteri yang dinanti-nantikan. Ahli Parlimen Julau itu merupakan wakil tunggal PBM di Dewan Rakyat.
Menurut Sng, Anwar wajar menyusun strategi selamat sebelum PRU akan datang. Tegasnya, hanya menjaga kepentingan Pakatan Harapan, Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah ‘ramuan kemenangan’ yang ampuh.
Bagaimanapun, Mazlan berpendapat, jika PBM mengintai jawatan dalam kerajaan, mereka perlu membuktikan kekuatan dengan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.
“Mungkin lima atau enam, barulah wajar dipertimbangkan untuk jawatan menteri,” katanya.
MCA dan MIC pernah meluahkan kekecewaan berhubung ketiadaan lantikan GLC untuk pemimpin mereka, biarpun memiliki pengalaman luas sebagai menteri.
Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen yang tidak kompeten sebagai menteri, hanya berdasarkan status sebagai pemimpin parti, akan mencalarkan imej pentadbiran Anwar yang sepatutnya memacu agenda reformasi.
Beliau juga berkata, tiada jaminan parti-parti tersebut akan kekal setia menyokong Anwar pada PRU16 walaupun diberikan jawatan menteri.
“Malah, Jemaah Menteri yang terlalu besar akan menjejaskan peruntukan kerajaan kerana dana terpaksa dialihkan untuk menampung kementerian baharu,” katanya.