Tak perlu audit Petronas, Zaid beritahu Pemuda Umno

Tak perlu audit Petronas, Zaid beritahu Pemuda Umno

Langkah tak perlu itu berisiko alih perhatian daripada perkara lebih penting jejas syarikat minyak nasional, kata bekas menteri.

zaid
Zaid Ibrahim berkata, Pemuda Umno patut tanya sama ada kerajaan ada pelan serius untuk pelbagaikan sumber hasil selain terus bergantung pada Petronas.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membidas gesaan Pemuda Umno supaya kerajaan melaksanakan audit menyeluruh ke atas Petronas, sebaliknya menggesa sayap itu menumpukan perhatian pada isu-isu lebih mendesak yang menjejaskan syarikat minyak nasional itu dan strategi tenaga jangka panjang negara.

Zaid berkata, melainkan terdapat kebimbangan yang jelas dan khusus untuk mewajarkan audit, langkah sedemikian tidak perlu dan berisiko mengalihkan perhatian daripada perkara yang lebih penting.

“Apa yang patut dibimbangi: Adakah kamu diberitahu tentang perjanjian antara kerajaan Madani dan Sarawak mengenai pertikaian Petronas-Petros?

“Adakah penyelesaian itu adil bagi Petronas, dan adakah ia dibuat demi kepentingan (terbaik negara)?” soalnya di platform media sosial, X.

Zaid turut mempersoalkan kebergantungan berterusan kerajaan terhadap Petronas untuk hasil negara, memberi amaran ia berisiko melemahkan syarikat itu sehingga tidak lagi mampu bersaing secara berkesan dalam pasaran tenaga global.

“(Pemuda Umno) patut bertanya sama ada kerajaan ada pelan serius untuk mempelbagaikan sumber hasilnya selain Petronas,” tambahnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sama ada Petronas masih mampu menarik pemimpin yang memiliki wawasan strategik dan kompetensi setanding teknokrat terdahulu seperti Idris Jala dan Hassan Marican, bahkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang pernah berkhidmat di syarikat itu sebagai eksekutif junior.

Pemuda Umno semalam menggesa kerajaan melaksanakan audit penuh dan mengeluarkan laporan telus mengenai kedudukan kewangan sebenar Petronas kepada orang ramai, susulan keputusannya mengurangkan 10% tenaga kerjanya berikutan kejatuhan harga minyak mentah.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, sebagai entiti milik penuh kerajaan, sebarang keputusan drastik melibatkan ribuan pekerja tidak seharusnya dibuat tanpa semak dan imbang sewajarnya.

Petronas sebelum ini mengumumkan sekurang-kurangnya 5,000 kakitangannya, kebanyakannya pekerja kontrak, akan terjejas akibat langkah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.