
Presiden MPCAM, Dr Soo Tai Kang, berkata langkah sedemikian akan membawa kepada persaingan tidak sihat dalam industri, terutamanya di kawasan bandar di mana 80% klinik GP beroperasi dan banyak bergantung kepada pesakit panel.
“Penyahkawalseliaan mungkin kelihatan mesra pasaran, tetapi pada hakikatnya, ia memberikan terlalu banyak kuasa kepada pembayar korporat yang besar.
“Ini boleh membawa kepada pengurangan harga, mengancam kemampanan klinik dan akhirnya menjejaskan penjagaan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Soo berkata MPCAM menyokong penetapan yuran perundingan antara RM50 dan RM80, dengan semakan setiap tiga tahun.
Kadar semasa antara RM10 dan RM35 kekal tidak berubah selama 33 tahun.
Soo juga mengkritik peranan pentadbir pihak ketiga (TPA), yang menguruskan pengaturan panel korporat antara syarikat dan klinik. Soo berkata amalan mereka menjejaskan daya maju klinik.
“TPA memotong sehingga 15% dalam caj pentadbiran, mengenakan had ketat pada harga ubat dan sering menangguhkan pembayaran – semuanya membebankan aliran tunai klinik,” katanya.
Soo menolak dakwaan bahawa menaikkan yuran GP akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dengan ketara. Sebaliknya katanya, ia akan mengurangkan pergantungan klinik pada ‘mark-up’ ubat. Persaingan dalam sektor klinik swasta yang tepu akan membantu memastikan yuran berpatutan, tambahnya.
Pada 5 Jun, Persatuan Perubatan Malaysia juga menggesa kerajaan meluluskan kenaikan yuran perundingan GP yang telah lama tertangguh, memberi amaran bahawa kelewatan itu mengancam kelangsungan klinik penjagaan primer di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pada 3 Mei bahawa perkara itu akan diselesaikan ‘dalam tempoh satu bulan’, dan memorandum dan pekeliling Kabinet telah disediakan.