Terima kasih atas tawaran bantu selesai pertikaian sempadan, PM Thai beritahu Anwar

Terima kasih atas tawaran bantu selesai pertikaian sempadan, PM Thai beritahu Anwar

Paetongtarn Shinawatra menegaskan komitmen Thailand untuk penyelesaian aman melalui mekanisme dua hala sedia ada.

Paetongtarn n anwar ibrahim
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berkata Anwar Ibrahim menyuarakan kesediaan membantu kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian itu. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata beliau membincangkan situasi sempadan Thailand-Kemboja bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi perbualan telefon pada Jumaat.

Beliau berkata, Anwar menyuarakan kesediaan membantu kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian itu.

“Terima kasih PM Anwar Ibrahim atas panggilan telefon petang ini (semalam) bagi membincangkan situasi sempadan Thailand-Kemboja dan menyatakan kesediaan untuk membantu kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini.

“Saya menegaskan komitmen Thailand untuk penyelesaian secara aman melalui mekanisme dua hala sedia ada, sambil mempertahankan kedaulatan kami selaras undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi akaun rasmi X semalam.

Malaysia selaku pengerusi Asean ketika ini difahamkan sedang memantau rapat perkembangan isu sempadan berkenaan.

Terdahulu, Paetongtarn selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Jumaat mengumumkan Thailand menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kebimbangan keselamatan di sepanjang sempadannya dengan Kemboja.

Beliau berkata, pihak tentera diarahkan menyelaras operasi dan mengekalkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan, dengan mengutamakan perlindungan terhadap kedaulatan negara serta memelihara hubungan antarabangsa demi menjamin keselamatan negara.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Phumtham Wechayachai, Menteri Luar Maris Sangiampongsa, Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand Songwit Noonpackdee, Ketua Majlis Keselamatan Negara Chatchai Bangchuad serta ketua komander tentera.

Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat pertempuran singkat di wilayah timur laut Thailand, Ubon Ratchathani dan wilayah Preah Vihear di utara Kemboja yang menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja dilaporkan terbunuh.

Susulan itu, Kemboja mengumumkan hasrat membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sementara itu, kedua-dua negara bersetuju membincangkan isu berkenaan menerusi Suruhanjaya Bersama Kemboja-Thailand mengenai Persempadanan Tanah (JBC) yang dijadualkan bersidang di Phnom Penh pada 14 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.