Larangan Fahmi Reza keluar negara tak boleh diterima, kata Pemuda DAP

Larangan Fahmi Reza keluar negara tak boleh diterima, kata Pemuda DAP

Ketua Pemuda DAP gesa pihak berkuasa tarik balik larangan, beri amaran rakyat Malaysia memerhati.

fahmi reza kena tahan airport
Fahmi Reza mendakwa dimaklumkan di KLIA hari ini bahawa beliau dilarang keluar negara. (Gambar Fahmi Reza)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP mengkritik larangan keluar negara yang dikenakan ke atas artis grafik dan aktivis Fahmi Reza, menyifatkannya sebagai perkara yang tidak boleh diterima.

Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong berkata, sekiranya Fahmi melakukan sebarang kesalahan di bawah undang-undang, beliau harus dihadapkan ke mahkamah dan keputusan perlu diserahkan kepada hakim.

Exco Perak itu memberi amaran, tindakan berkenaan mencemarkan nama baik kerajaan Madani pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

“Ini benar-benar tidak wajar. Pemuda DAP sama sekali tidak bersetuju dengan pihak berkuasa menyenarai hitam Fahmi daripada melancong ke luar negara. Imej pentadbiran Madani tidak sepatutnya tercemar dengan tindakan sedemikian.

“Rakyat sedang memerhati. Larangan harus ditarik balik tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan.

Awal hari ini, Fahmi mendakwa beliau dihalang di Terminal 2 KLIA ketika cuba menaiki penerbangan ke Singapura sebelum dimaklumkan dia telah disenarai hitam.

Beliau mendakwa seorang pegawai imigresen memaklumkan bahawa Bukit Aman melarangnya keluar negara.

Sebelum ini, Fahmi yang terkenal dengan karya seni satira dan lantang mengkritik tokoh politik dilapor tidak dibenarkan masuk ke Sabah pada 29 Mei.

Awal tahun ini, Fahmi ditahan polis Sabah bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung salah satu karyanya yang didakwa menghina institusi diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.