
“Itu (perkara) akan dibawa ke persidangan dan perbincangan ketua-ketua Asean,” katanya ringkas selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini.
Semalam, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Syed Ahsan Raza Shah, dilaporkan berkata negaranya memperbaharui usaha untuk menjadi rakan dialog penuh Asean sebagai komitmen Islamabad memperkukuh kerjasama serantau dan penglibatan dengan blok itu.
Pakistan, yang juga rakan dialog sektoral pertama Asean sejak 1993, menghargai kerjasama dengan blok serantau itu dan berhasrat memperluas lagi kerjasama sedia ada.
Oktober lalu, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia memberi sokongan penuh terhadap usaha Pakistan menjadi rakan dialog penuh Asean.
Mengenai kenyataan Pakistan mengalu-alukan tawaran Anwar menjadi pengantara dalam ketegangan India dan Pakistan, beliau berkata, Malaysia cuma mengharapkan penyelesaian damai.
“Saya tak ada peranan apa-apa, cuma berikan pandangan sahaja.”
Terdahulu, Anwar bersama isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 15,000 jemaah di Masjid Putra.
Anwar yang berbaju Melayu biru cair tiba pada 7.50 pagi, disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Beliau turut menyertai takbir raya bersama jemaah, sebelum menunaikan solat yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.
Beliau seterusnya mendengar khutbah Aidiladha bertajuk “Korban dan Semangat Kebersamaan” yang antara lain menekankan kepentingan niat, adab dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah korban.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.