Dalami erti pengorbanan, pesan Sultan Pahang, Tengku Ampuan sempena Aidiladha

Dalami erti pengorbanan, pesan Sultan Pahang, Tengku Ampuan sempena Aidiladha

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar rakyat hayati hikmah Aidiladha dengan memperkukuh perpaduan.

Aidiladha hari untuk umat Islam mendalami erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah, kata Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Menerusi hantaran di Facebook, baginda berdua menyifatkan Aidiladha sebagai hari untuk umat Islam mendalami erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang tinggi kepada Allah.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail wajar menjadi pedoman kepada kita semua dalam menempuh dugaan serta mengutamakan kebajikan ummah,” titah baginda berdua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Aminah bertitah agar rakyat dapat menghayati hikmah Aidiladha dengan memperkukuh perpaduan, memperbanyak amal ibadah dan terus berdoa agar Pahang serta Malaysia sentiasa diberkati, aman dan sejahtera.

Baginda berdua turut mendoakan agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah serta membawa keberkatan dan penyatuan dalam masyarakat.

“Semoga sambutan ini diraikan dengan penuh rasa syukur, harmoni dan kasih sayang sesama insan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.