Polis guna K9 kesan remaja OKU hilang cari lembu

Polis guna K9 kesan remaja OKU hilang cari lembu

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata usaha pasukan penyelamat dan anjing K9 untuk mengesan jejak mangsa belum menemukan sebarang petunjuk.

Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan hilang petang semalam ketika mencari lembu di hutan di Kampung Permatang Pasir, Melaka. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dikhuatiri sesat di hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini dibantu anjing pengesan daripada Unit K9 polis.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata usaha mencari Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, sejak pagi tadi hingga petang ini turut meliputi kawasan sungai dan kolam berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.

“Setakat ini pasukan penyelamat dan anjing K9 yang digunakan untuk mengesan jejak mangsa belum menemukan sebarang petunjuk.

“Semua lembu yang dijaga remaja itu juga didapati tidak hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata pusat kawalan operasi dibuka hari ini bagi menyelaras gerakan SAR melibatkan pasukan bomba, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran selain dibantu penduduk kampung.

“Tiada kesan atau petunjuk arah pergerakan mangsa manakala telefon bimbitnya juga dipercayai dimatikan yang menyukarkan usaha pengesanan lokasi,” katanya.

Difahamkan dua anjing pengesan daripada Unit K9 Jabatan Bomba turut dihantar ke lokasi pada petang ini bagi meneruskan usaha pencarian.

Aidil dilaporkan dikhuatiri sesat selepas dipercayai keluar mencari lembu hilang di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini petang semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.