Petronas kekal operasi di Kanada, kata CEO kumpulan

Petronas kekal operasi di Kanada, kata CEO kumpulan

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Kanada merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli dan gas asli cecair sedang mula dikeluarkan.

Petronas
Petronas berharap dapat mengadakan lebih banyak sesi libat urus dan dialog yang membina bagi membolehkan syarikat minyak negara itu mengaktifkan kelebihan tambahan dalam sektor LNG di Kanada.
KUALA LUMPUR:
Petronas sekali lagi menegaskan bahawa syarikat minyak milik negara itu tidak akan keluar dari Kanada.

“Petronas tidak meninggalkan Kanada. Kami kekal beroperasi di Kanada. Kami sentiasa mempertimbangkan tawaran dan cadangan yang dikemukakan.

“Itu adalah sebahagian daripada kelaziman dalam dunia perniagaan dan (Kanada) merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli,” kata Presiden dan CEO Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam taklimat bersama editor.

Malah, Tengku Taufik berkata gas asli cecair (LNG) sedang mula dikeluarkan dari Kanada, dengan kargo pertama dijangka dalam beberapa minggu lagi.

Beliau berkata akan ada penghantaran tetap LNG dari Kanada, yang mana Petronas juga memiliki pegangan sebanyak 25% dalam projek LNG Canada.

“Kami memiliki 53 trilion kaki padu (TCF) rizab. Ia terletak secara strategik antara pantai Kanada dan Jepun, Korea Selatan, Taiwan, malah China.

“Beberapa laluan LNG lain terjejas akibat ketegangan geopolitik… Itu satu lagi kelebihan. Itulah rasional di sebalik keputusan ini. Kami membina titik penting (dalam rangkaian logistik) itu. Kami mahu memastikan ia berada pada kedudukan yang strategik, dengan lokasinya mempunyai kelebihan,” katanya.

Sehubungan itu, Petronas berharap dapat mengadakan lebih banyak sesi libat urus dan dialog yang membina bagi membolehkan syarikat minyak negara itu mengaktifkan kelebihan tambahan dalam sektor LNG di Kanada.

“Kami berharap kerajaan (baharu) Kanada akan lebih menghargai dan menyokong usaha ini sebagai satu sumber tenaga baharu yang lebih bersih untuk negara-negara membangun yang lain,” tambahnya.

Tengku Taufik menegaskan bahawa adalah penting bagi Petronas untuk mengekalkan kepentingannya dalam bahagian pasaran LNG di Kanada sambil melihat bagaimana untuk membina portfolio huluannya dengan berkesan.

Menjawab soalan sama ada Petronas akan melupuskan beberapa aset atau mempelbagaikannya, beliau berkata Petronas akan meneruskan rasionalisasi aset untuk memastikan operasi syarikat lebih cekap dan efektif.

Beliau memaklumkan bahawa pelupusan aset yang dilakukan di Argentina disebabkan Petronas tidak dapat mengoptimumkan asetnya di negara itu dan telah menemui pihak yang berminat untuk mengambil alih aset berkenaan.

Pada April tahun ini, Vista Energy yang berpangkalan di Buenos Aires dilaporkan telah mengambil alih 50% pegangan Petronas dalam medan minyak La Amarga Chica di lembangan syal Vaca Muerta, Argentina, pada harga sekitar USD1.5 bilion (RM7.1 bilion).

Pengeluar minyak mentah kedua terbesar di kawasan itu akan membayar pendahuluan sebanyak USD900 juta untuk pegangan berkenaan dengan satu pertiga daripada jumlah tersebut dibiayai melalui pinjaman daripada Banco Santander SA, manakala baki bayaran akan dibuat dalam dua ansuran pada 2029 dan 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.