Pesara rugi lebih RM100,000 ditipu ‘penjawat awam’

Pesara rugi lebih RM100,000 ditipu ‘penjawat awam’

Kejadian berlaku selepas wanita berusia 72 tahun itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai kakitangan SKMM dan pegawai polis.

Scammer-Hacker
Mangsa sebelum itu dimaklumkan bahawa akaunnya menerima wang RM210,000 daripada suspek pengubahan wang haram bernama ‘Ong We Kiat’ sebelum ditipu, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
KUANTAN:
Seorang pesara jururawat kerugian lebih RM111,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa wanita berusia 72 tahun, menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil SKMM pada 29 Mei, yang mendakwa seorang suspek pengubahan wang haram bernama ‘Ong We Kiat’ telah memasukkan RM210,000 ke dalam akaunnya.

“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang individu lain yang menyamar sebagai ‘Inspektor Zamri’ dari IPK Pahang, yang mengarahkan mangsa menyerahkan semua kad bank miliknya serta tidak membenarkannya memaklumkan perkara itu kepada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa telah menyerahkan kad bank berserta nombor PIN dengan meletakkannya dalam bungkusan di hadapan halaman rumah untuk diambil oleh individu yang kononnya anggota polis dari IPD Bentong.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan di bank dan mendapati baki wang simpanannya berjumlah RM111,044.64 telah lesap.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.