
Beliau tampil merasmikan pelancaran pek serbuk minuman 3-dalam-1 oleh Tealive dalam variasi teh, kopi, dan coklat, di IOI City Mall di Putrajaya hari ini.
Bagi Khairy, produk baharu Tealive ini memperlihatkan bakat, idea, dan semangat juang jenama tempatan; serta perjalanan Tealive sebagai jenama terkemuka di Asia Tenggara dari kios ke kediaman.
“Sebagai individu yang sentiasa memperjuangkan pengembangan jenama tempatan, saya berbangga melihat evolusi baharu Tealive,” menurut kenyataan.
Katanya, acara hari ini detik membanggakan bagi inovasi Malaysia. “Kita bukan sekadar mengeksport produk tetapi turut mengetengahkan gaya hidup dan identiti kita.”
“Kita perlukan lebih banyak jenama tempatan seperti Tealive yang berani memimpin dengan rasa bangga dan autentik.”

Pengasas dan CEO Loob Holding, Bryan Loo, berkata pelancaran hari ini suatu langkah strategik untuk memastikan kelestarian jenama, seiring perubahan gaya hidup yang mementingkan keselesaan dan kemudahan.
Pek minuman ‘3-in-1’ ini boleh didapati secara eksklusif di pasar raya Aeon dan cawangan Tealive di seluruh negara, serta di dalam talian menerusi platform e-dagang bermula 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit mulai Julai.
Kotak mengandungi lima hingga enam pek dijual pada harga RM12.90 setiap satu, dengan tiga jenis teh iaitu ‘signature milk tea’, ‘matcha tea’, dan ‘teh tarik’; tiga jenis kopi iaitu ‘signature coffee’, ‘caramel macchiato’, dan ‘hazelnut coffee’; dan tiga jenis coklat iaitu ‘signature coco’, ‘dark chocolate’, dan ‘chocolate hazelnut’.
“Kami mahu peminat Tealive dapat menikmati minuman kegemaran mereka di mana jua mereka berada,” katanya.
“Ini merupakan cara kami membawa saat istimewa Tealive ke dalam rutin harian, sama ada ketika dalam perjalanan, di tempat kerja atau ketika berehat di rumah,”
Berkongsi semangat di sebalik pembikinan produk ini, Loo berkata pek kecil Tealive perlu menjadi lebih daripada sekadar sedap.
“Ia mesti menghidupkan pengalaman ‘brewing positivity’ yang sinonim dengan Tealive.”
Dalam pada itu, majlis hari ini turut memperkenalkan siri teh susu lebih sihat, antaranya Bang Bang yang kembali dengan formulasi yang ditambah baik dengan tekstur lemak berkrim.
Turut diperkenalkan siri teh Da Hong Pao dan Snowy, yang menambah elemen premium dalam pengalaman pelanggan.