Kerajaan teliti cadangan bina rumah atas stesen kereta api

Kerajaan teliti cadangan bina rumah atas stesen kereta api

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Enam: Prasarana Malaysia Bhd di sini, malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk membangunkan projek perumahan di atas stesen kereta api sebagai antara usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata cadangan itu sedang diteliti dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana pelaksanaannya memerlukan beberapa pindaan peraturan yang sedang diusahakan.

“Maknanya, ia (projek perumahan rakyat) dibangunkan di atas (stesen kereta api). Perumahan komersial, tak semuanya perumahan rakyat tetapi sebahagiannya,” katanya dalam satu forum.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberitahu wartawan kerajaan bakal memulakan satu peralihan dasar besar dengan memberi keutamaan kepada pembangunan perumahan mampu milik berhampiran stesen LRT dan MRT.

Katanya, ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada kereta dan menjadikan rumah lebih mampu milik.

Loke berkata kerajaan kini sedang berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan pelan tersebut.

“Ini satu perubahan besar dari segi dasar. Kalau dapat dilaksanakan, kita boleh kurangkan penggunaan kereta,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, pendekatan baharu itu termasuk menyemak semula keperluan tempat letak kereta dalam projek pembangunan berhampiran stesen rel, yang dapat mengurangkan kos kepada pemaju serta memberi manfaat kepada pembeli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.