Sita aset keluarga Daim untuk elak dilupus, kata Azam

Sita aset keluarga Daim untuk elak dilupus, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata harta disyaki tidak diisytiharkan itu mungkin dilupus tanpa ada perintah sekatan.

Azam Baki-Pesuruhjaya SPRM
Azam Baki berkata SPRM memohon perintah sekatan bagi tujuan pembekuan aset milik isteri Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid dan keluarga.
KUALA LUMPUR:
Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku tujuh hartanah dan satu akaun bank milik isteri Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid adalah bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada tindakan awal yang dilakukan suruhanjaya itu bagi melaksanakan siasatan lanjut.

“Dalam kes ini, kita sudah memasukkan permohonan di mahkamah untuk perintah sekatan bagi tujuan pembekuan aset itu di luar negara.

“Jika perintah sekatan ini tidak dibuat, maka besar kemungkinan harta-harta yang kita syaki tidak diisytiharkan ini akan dilupuskan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Media semalam melaporkan tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Na’imah dan keluarga, dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah GB£132 juta (RM758.2 juta).

Siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan harta berkenaan dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), semalam.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata dalam kes pembekuan aset keluarga Daim, istilah undang-undang yang tepat dalam konteks ini ialah perintah larangan (prohibitory order) dan bukannya perintah pembekuan (freezing order).

Beliau berkata ini kerana pembekuan merujuk kepada tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang lazimnya membabitkan akaun bank dan instrumen kewangan tertentu.

Kes ini sebaliknya membabitkan perintah larangan mengikut Seksyen 53 AMLA yang berkaitan dengan sekatan terhadap sebarang urus niaga membabitkan harta di luar Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti haram, katanya.

“Bagaimanapun pengeluaran perintah larangan itu tidak membawa maksud atau andaian bahawa harta yang terlibat diperoleh melalui cara rasuah atau menyalahi undang-undang.

“Perintah ini hanya bertujuan untuk menyekat sebarang urus niaga ke atas harta tertentu sementara siasatan oleh SPRM dijalankan. Ia merupakan langkah sementara untuk mengekalkan status quo dan mengelakkan pelupusan harta semasa siasatan sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkifli yang juga seorang peguam berkata perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi itu adalah melalui permohonan ex parte iaitu tanpa notis awal atau kehadiran pihak yang terbabit.

Pada peringkat itu, katanya, pihak yang dikenakan perintah itu masih belum diberi peluang untuk memberi maklum balas atau mencabar permohonan itu di mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.