Selangor lanjut setahun bantuan sewa rumah mangsa letupan gas

Selangor lanjut setahun bantuan sewa rumah mangsa letupan gas

Bantuan RM2,000 sebulan dilanjutkan bagi memastikan mangsa mempunyai tempat perlindungan sehingga rumah mereka siap.

penduduk kebakaran saluran gas Putra Height di Kampung Kuala Sungai Baru
Keadaan rumah penduduk Putra Heights yang rosak akibat letupan saluran gas pada 1 April lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor melanjutkan bantuan pembiayaan sewa rumah sehingga setahun kepada mangsa letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri, Borhan Aman Shah, berkata bantuan RM2,000 sebulan itu dilanjutkan bagi memastikan mangsa mempunyai tempat perlindungan sewajarnya sehingga kediaman mereka siap sepenuhnya.

“Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan untuk membayar sewa rumah mangsa kejadian letupan gas di Putra Heights selama enam bulan bermula April lalu.

“Bagaimanapun, kita akan melanjutkan sehingga setahun atau lebih, terutama kepada mangsa yang rumah mereka rosak sepenuhnya kerana perlukan masa membinanya semula,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, Selangor dilapor memperuntukkan RM2.73 juta untuk bantuan sewa rumah kepada 455 keluarga terjejas letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights 1 April lalu.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Borhan berkata, bantuan juga akan diteruskan buat mangsa yang rumah mereka rosak sebahagian.

“Mereka mungkin memerlukan tempoh sehingga tujuh atau lapan bulan. Bagi rumah rosak sedikit dan siap dibaiki, bantuan akan dihentikan selepas mereka memasuki rumah itu.

“Jadi, kita akan lihat setiap proses pembaikan semua rumah untuk memudahkan pemberian bantuan. Secara keseluruhan, dianggarkan lebih RM4 juta akan digunakan untuk biaya sewa rumah mangsa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.