Profesional, syarikat diguna tutup jejak wang projek lebuh raya, kata SPRM

Profesional, syarikat diguna tutup jejak wang projek lebuh raya, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan dan jurutera digunakan sebagai penerima wang secara berlapis.

Azam Baki-Pesuruhjaya SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ptokoh korporat bergelar Tan Sri belum disoal siasat kerana masih dirawat di sebuah hospital swasta.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihak terbabit penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang dipercayai menggunakan golongan profesional dan pelbagai syarikat sebagai penerima wang secara berlapis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata golongan profesional itu termasuk juruaudit, pakar kewangan dan jurutera.

Katanya, SPRM sehingga kini belum mengambil keterangan tokoh korporat bergelar Tan Sri yang masih dirawat di sebuah hospital swasta.

Beliau berkata, pegawai penyiasat sudah mendapatkan pengesahan doktor semalam berhubung status kesihatan Tan Sri itu sebelum pihaknya boleh merakam keterangannya.

“Jumlah saksi juga masih kekal 45 orang dan sebahagian daripada mereka dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya menurut Bernama dalam kenyataan malam tadi.

Azam berkata, pasukan siasatan sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri itu di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Menurutnya, siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah dalam simpanan Tan Sri itu, dengan kemungkinan wang berkaitan telah dipindahkan ke akaun lain.

Beliau berkata, notis pengisytiharan harta sudah diserahkan kepada Tan Sri itu dan pihak berkaitan.

Katanya, aset disita setakat ini termasuk 14 akaun bank individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta) serta sembilan kereta bernilai RM7.65 juta, selain 13 kereta yang belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

Turut dirampas jam tangan mewah bernilai RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat ekor kuda (RM400,000), minuman keras mewah (RM3 juta), aset luar negara dianggarkan lebih RM15 juta serta aktiviti perjudian dipercayai mencecah RM20 juta.

“Siasatan turut menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang didakwa dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu mengalirkan wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya sambil menambah projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Pada 22 Mei lalu, Azam dilaporkan berkata, SPRM sedang menyiasat tiga kes berasingan dakwaan rasuah dan tuntutan palsu berkaitan Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).

Katanya, kertas siasatan pertama membabitkan tuntutan palsu RM361 juta dana sukuk, kes kedua ialah pendedahan palsu RM416 juta dana sukuk dan RM50 juta pinjaman bank, manakala kes ketiga melibatkan pihak tertentu didakwa meminta serta menerima rasuah sekitar RM12 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.