
Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata agensi antirasuah itu telah menahan sembilan individu dan merekodkan keterangan daripada 31 orang bagi membantu siasatannya.
Beliau berkata kertas siasatan pertama membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM361 juta melibatkan dana hasil terbitan sukuk, manakala kes kedua membabitkan pendedahan palsu membabitkan RM416 juta dana sama dan RM50 juta pinjaman bank.
“Kes ketiga membabitkan pihak tertentu yang didakwa meminta dan menerima rasuah sekitar RM12 juta,” katanya pada sidang media.
SPRM baru-baru ini dilaporkan menahan empat individu, termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri, kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM360 juta berhubung projek MEX II sejauh 18km, yang bertujuan menghubungkan Putrajaya ke KLIA.
Memetik sumber, The Edge berkata penahanan itu dikaitkan dengan dana hasil terbitan sukuk RM1.3 bilion untuk lebuh raya itu.
Pembinaan untuk laluan berkembar tiga lorong itu bermula pada 2016 dan dijangka siap pada Disember 2019.
Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan kelewatan MEX II yang berpanjangan, yang menurutnya telah terhenti kerana masalah aliran tunai yang serius.
Lebuhraya Maju sepanjang 26km, atau MEX, menghubungkan Putrajaya dan Cyberjaya dengan Kuala Lumpur.