
Joniston berkata perjalanan politik PBS sentiasa berpegang kepada prinsip jelas bahawa Sabah perlu ditadbir oleh anak jati negeri itu sendiri, dengan kepimpinan yang berteraskan identiti tempatan dan kebertanggungjawapan, sambil mempertahankan hak dan maruah rakyatnya pada setiap masa.
“Walaupun PBS tidak mendakwa mempunyai sejarah sempurna, kami tidak pernah menyimpang daripada misi asal penubuhan kami. Sejak awal, kami konsisten memperjuangkan autonomi negeri, layanan adil dalam persekutuan dan perlindungan suara serta masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Joniston yang juga ketua penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, mereka yang kerap mengungkit sejarah PBS demi kepentingan politik sering kali mengetepikan niat sebenar di sebalik keputusan-keputusan parti itu.
“Perjalanan politik kami didokumenkan dengan sangat baik. Ia melalui pelbagai perikatan, penjajaran semula dan pengajaran pahit. Namun begitu, PBS kekal konsisten dengan perjuangannya,” katanya.
Borneo Post melaporkan Suhaimi, yang juga ketua penerangan Umno Sabah, menempelak Joniston susulan kenyataannya terhadap Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.
Joniston sebelum itu mengkritik Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, kerana mendakwa sukar bekerjasama dengan GRS akibat ‘pengkhianatan’ masa lalu, dengan menyatakan Bung adalah individu terakhir yang wajar bercakap tentang kesetiaan dan keikhlasan.
Suhaimi berkata Joniston mungkin tidak dikenali dalam arena politik negeri jika bukan kerana platform Barisan Nasional (BN) yang pernah diberikan kepada PBS.
Beliau juga berkata Joniston tidak seharusnya terlalu cepat berbicara soal kesetiaan, merujuk kepada tindakan PBS keluar daripada BN menjelang PRU1990, kembali semula pada 2002, dan keluar sekali lagi selepas BN tumbang pada 2018.
PBS menyertai GRS pada Sept 2020, menjelang PRN yang berlangsung tahun itu.
Hari ini, Joniston berkata keputusan PBS untuk meninggalkan BN dibuat selepas pertimbangan teliti sama ada kerjasama tersebut masih seiring dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Bagi PBS, setiap keputusan politik kami sentiasa berasaskan persoalan asas: adakah ia baik untuk Sabah?
“Keputusan kami menyertai GRS dibuat dengan tujuan yang jelas. Kami bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang memahami keutamaan Sabah dan komited terhadap pembangunan yang bermakna,” katanya.