
Tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London antara aset dibenarkan dibekukan.
Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte (sebelah pihak) hari ini, lapor Utusan Malaysia.
Hasil siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan berhubungan dengan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Daim Zainuddin dan keluarga bekas menteri kewangan itu.
Menurutnya, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.
Pada 23 Jan 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Enam hari kemudiannya Daim turut didakwa atas tuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pada 20 Nov tahun lalu, kes pengisytiharan aset melibatkan Daim ditamatkan susulan kematian beliau.