Pemandu terlelap, bas ekspres terbabas ke dalam longkang

Pemandu terlelap, bas ekspres terbabas ke dalam longkang

Tiga penumpang cedera ringan, manakala pemandu bas dan 22 penumpang lain tidak cedera.

Sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang dari Pulau Pinang menuju ke TBS Kuala Lumpur terbabas ke dalam longkang di KM342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini. (Gambar IPD Tapah)
PETALING JAYA:
Sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang terbabas ke dalam longkang di KM342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini, dipercayai kerana pemandunya terlelap.

Ketua Polis Tapah Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 tengah hari tadi, membabitkan bas dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan mendapati pemandu bas itu hilang kawalan kerana mengantuk (micro-sleep),” katanya, lapor Bernama.

“Bas tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang, kiri serta kanan selepas terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri di lokasi kejadian.”

Johari berkata, pemandu berusia 31 tahun itu bersama 25 penumpang bas lain berjaya keluar daripada bas dengan bantuan orang awam.

Tiga penumpang yang cedera ringan dirawat di Hospital Slim River, manakala pemandu bas dan 22 penumpang lain tidak cedera.

Menurut Johari, siasatan lanjut mendapati pemandu bas itu negatif dadah dan insurans bas itu masih sah hingga Mac tahun depan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menyebabkan kecederaan ringan,” kata Johari menambah, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.