
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) hari ini, yang menurutnya memberikan perhatian serius terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.
“Selari dengan pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui pindaan Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS),” katanya dalam hantaran di Facebook.
“Penubuhan JTKS ini bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.
Bulan lepas, Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Radzi berkata, Akta Audit dipinda, yang berkuat kuasa tahun lepas, memberi kuasa kepada jabatan itu untuk mengaudit 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau dilaporkan berkata, pindaan itu meluaskan skop jabatan itu, sekali gus mengukuhkan pengawasan kerajaan terhadap tadbir urus dan pengurusan kewangan dalam GLC.
Perubahan itu termasuk peluasan kuasa ketua audit negara untuk mengaudit entiti yang menerima jaminan kewangan kerajaan, memperkenalkan pendekatan audit ‘follow the public money’.
Susulan itu, kata Wan Suraya, semua GLC akan dipertanggungjawabkan atas sebarang ketakteraturan yang dikenal pasti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).