Bersatu tak bayar ketua biro, bekas pembantu Muhyiddin beritahu mahkamah

Bersatu tak bayar ketua biro, bekas pembantu Muhyiddin beritahu mahkamah

Marzuki Mohamad kata ia amalan ketika itu, sambil menambah dua peguam lain turut menawarkan perkhidmatan secara sukarela.

marzuki
Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, kata tiada bayaran dibuat kepada Haniff Khatri Abdulla ketika beliau ketuai biro perundangan dan perlembagaan Bersatu pada tahun-tahun awal parti itu. (gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bersatu tidak membayar individu yang mengetuai biro dalaman, termasuk bekas ketua undang-undangnya Haniff Khatri Abdulla, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Presiden Muhyiddin Yassin, berkata tiada bayaran dibuat kepada Haniff sepanjang beliau mengetuai biro perundangan dan perlembagaan Bersatu pada tahun-tahun awal parti kerana ia amalan ketika itu.

“Dua peguam lain juga menawarkan perkhidmatan mereka secara sukarela. Ia amalan biasa untuk tidak menawarkan imbuhan,” kata Marzuki, yang kini mengajar di sebuah universiti.

Beliau memberi keterangan dalam saman yang difailkan Haniff pada 2021 bagi menuntut yuran guaman RM12.5 juta daripada Bersatu. Haniff turut menamakan Muhyiddin, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Bendahari Salleh Bajuri sebagai defendan bersama.

Haniff mendakwa telah mengeluarkan beberapa invois antara Januari dan Mac 2021, tetapi tidak menerima maklum balas.

Bersatu, dalam pembelaannya, mendakwa perkhidmatan Haniff dari 2016 hingga 2020 ditawarkan secara pro bono.

Marzuki juga beritahu mahkamah bahawa perlembagaan parti didraf olehnya dan beliau pernah mendapatkan maklum balas Haniff, tetapi mendakwa beliau tidak pernah menjawab.

Ditanya oleh peguam Haniff, Nizamuddin Hamid, sama ada beliau tahu Haniff tidak pernah menjadi ahli parti, Marzuki berkata dia tidak pernah tanya.

Ketika disoal mengenai invois dan peringatan Haniff, Marzuki berkata dia tidak melihat invois dan peringatan itu, dan hanya mengetahui tentang tuntutan ini melalui laporan media.

Hakim Akhtar Tahir menetapkan 25 Ogos untuk keputusan selepas peguam Bersatu, Chetan Jethwani, mengesahkan bahawa pihak pembelaan telah menutup kesnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.