Bella, 7 rakan tukar pengakuan kes ugut, pukul lelaki

Bella, 7 rakan tukar pengakuan kes ugut, pukul lelaki

Pada 25 April lalu, semua tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan bunuh, serangan berkumpulan, dan mengurung seorang lelaki secara salah.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah Majistret Johor Bahru menetapkan 18 Julai ini untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wanita dikenali Bella dan tujuh rakan lelakinya menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas empat pertuduhan mengugut bunuh, ugutan memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki, April lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, bersama tujuh lagi individu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Tujuh tertuduh lain adalah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.

Bagi pertuduhan pertama, semua tertuduh berkenaan termasuk Bella, bersama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar RM3,000.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh, Amierul Hakim.

Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Faris, dengan seorang lagi masih bebas. Namun, Bella tidak didakwa atas pertuduhan pindaan kedua itu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, semua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Faris dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman, lapor Harian Metro.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.