Sultan Ibrahim beri amaran pemimpin jangan main politik, isu sensitif

Sultan Ibrahim beri amaran pemimpin jangan main politik, isu sensitif

Sultan Ibrahim bertitah tiada hadiah lebih istimewa buat baginda selain rakyat yang bersatu padu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim bertitah wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah belah dan benci-membenci di antara satu sama lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan pemimpin masyarakat tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

Seri Paduka Baginda bertitah, wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah belah dan benci-membenci di antara satu sama lain.

“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu padu.

“Saya pernah sebut dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini mula menular dan tidak boleh diubati. Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa.”

Sultan Ibrahim bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir istiadat itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan barisan menteri Kabinet.

Sultan Ibrahim turut menyeru rakyat jelata terus memperkukuh perpaduan untuk dijadikan hadiah kepada Seri Paduka Baginda.

Baginda memaklumkan akan mengadakan Kembara Diraja ke semua Wilayah Persekutuan bagi melihat sendiri kehidupan rakyat serta mengagihkan duit zakat kepada golongan miskin dan asnaf.

Penjawat awam

Sultan Ibrahim bertitah, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

“Walaupun ada pihak memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutamanya penjawat awam, segala cabaran dan rintangan telah berjaya diharungi.”

Sultan Ibrahim turut mengingatkan penjawat awam terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua, iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.

“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat.”

Baginda menegaskan penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.

“Setiap perbelanjaan juga mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi, sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar.”

Darjah kebesaran

Sultan Ibrahim menegaskan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.

Walaupun kerajaan menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, Seri Paduka Baginda tetap akan menilai semula setiap calon dicadangkan.

“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang mengharumkan nama negara wajar diperkenankan. Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.

“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah, bantu orang miskin yang memerlukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.