Pengembara British hilang selepas kunjung pub di Bangsar

Pengembara British hilang selepas kunjung pub di Bangsar

Telefon Jordan Johnson-Doyle kali terakhir dikesan di sebuah bangunan kediaman berdekatan bar di Bangsar sebelum terputus isyarat pada 30 Mei.

Jordan Johnson-Doyle, 25, dipercayai kali terakhir dilihat di Healy Mac’s Irish Bar di Bangsar, pada 27 Mei. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki British berusia 25 tahun dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas keluar malam di sebuah bar di Bangsar, pada 27 Mei.

Menurut Daily Mail UK, Jordan Johnson-Doyle pengembara beg galas sedang menjelajah secara solo di Asia Tenggara.

Dia dipercayai berkunjung ke Healy Mac’s Irish Bar di Bangsar, Kuala Lumpur, untuk kuiz pub, berdasarkan foto dihantar kepada ibunya, Leanne Burnett.

“Saya langsung tidak tahu apa sudah berlaku. Apa yang saya tahu adalah sesuatu yang sangat tidak kena sehingga dia tidak berhubung sesiapa,” katanya dipetik sebagai berkata.

“Saya tahu perangainya dan dia tahu betapa risau semua orang di sini. Sebab itulah dia sentiasa berhubung dengan kami.”

Burnett berkata, andai sekalipun telefon dan komputer ribanya dicuri, anaknya tahu nombornya dan akan mencari jalan untuk berhubung.

“Dia akan pergi ke hotel berdekatan dan gunakan telefon, atau pergi ke kafe internet. Dia akan cari jalan menghubungi kami,” katanya memetik laporan akhbar UK itu.

Dia berkata, semakan lokasi aplikasi Find My iPhone menunjukkan telefon anaknya kali terakhir dikesan di sebuah bangunan kediaman berhampiran bar berkenaan. Isyarat itu terhenti tiga hari kemudian pada 30 Mei, apabila dipercayai kehabisan bateri.

Jordan, seorang jurutera perisian, tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas mengembara dari Vietnam. Dia bekerja secara jarak jauh berkelana merentas rantau ini, kata ibunya.

Tidak jelas di mana lelaki itu menetap di Kuala Lumpur.

Laporan orang hilang telah difailkan di polis Merseyside, konsulat British, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberitahu FMT, bahawa beliau akan memeriksa dengan ketua polis Kuala Lumpur sama ada laporan sedemikian ada diterima, selain beri jaminan siasatan susulan akan dibuat.

FMT juga telah menghubungi pesuruhjaya tinggi British bagi ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.