Kes tipu cabutan bertuah, polis Terengganu buka 12 kertas siasatan

Kes tipu cabutan bertuah, polis Terengganu buka 12 kertas siasatan

Polis berkata laporan terbaharu diterima daripada seorang guru dan peniaga semalam dipercayai selepas menekan pautan palsu di media sosial.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata 12 laporan diterima sejak 1 Jan hingga semalam membabitkan kerugian berjumlah RM259,103.57. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Polis Terengganu membuka 12 kertas siasatan berkaitan kes penipuan peraduan cabutan bertuah melalui capaian pautan sebuah bank (phishing).

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima 12 laporan sejak 1 Jan hingga semalam membabitkan kerugian berjumlah RM259,103.57.

Menurutnya, laporan terbaharu diterima semalam membabitkan seorang guru wanita 52 tahun yang kerugian RM5,499 dipercayai selepas menekan capaian pautan bertuah palsu melalui Facebook.

“Mangsa menyedari wang simpanan dalam dua akaunnya hilang selepas membuat pemeriksaan di bank.

“Satu lagi laporan semalam melibatkan seorang peniaga wanita berusia 52 tahun yang kehilangan RM14,110 daripada tiga akaun bank selepas menekan pautan palsu di laman sosial,” katanya dalam kenyataan.

Azli mengingatkan orang ramai berwaspada dan menyemak kesahihan maklumat secara terus dengan institusi kewangan.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau CCID Scam Response Center menerusi talian 03-2610 1559.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.