
Peguam Woo, Syahredzan Johan berkata dua pegawai penyiasat IPD Gerik telah hadir ke Pejabat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk merakam percakapan anak guamnya selama 30 minit bermula 10.50 pagi tadi.
“Soalan-soalan telah diajukan dan semuanya telah dijawab. Kami beri kerjasama penuh kerana kami faham siasatan perlu dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang akhbar di Wisma DAP Perak, di Ipoh.
Syahredzan berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone milik termasuk kad sim bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kami serahkan tanpa sebarang halangan. Kami tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana kita tahu pihak polis hanya menjalankan tugas.”
Sementara itu, Woo berkata, laporan polis dibuat ke atasnya merupakan satu budaya politik yang tidak sihat, selain menyekat kebebasan bersuara.
Adun Pasir Bedamar itu turut menyifatkan politik sindiran termasuk dalam bentuk karikatur bukanlah bentuk serangan peribadi, sebaliknya satu bentuk seliaan awam.
“Sebagai seorang ahli politik, saya mempertahankan hak semua pihak untuk mengkritik saya dan dalam masa yang sama, saya juga berhak melawan balik tanpa mendiamkan diri,” katanya.
Sebelum ini, Razman menuntut agar Woo memohon maaf secara terbuka dalam sidang DUN berhubung penyiaran kandungan berunsur provokatif terhadapnya yang dimuat naik di media sosial, pada 10 April lalu.