
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata perubahan dalam Kabinet pastinya akan berlaku, terutama bagi portfolio ekonomi dan alam sekitar yang masing-masing dilepaskan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Namun, katanya pengunduran Tengku Zafrul daripada Umno dan hasrat menyertai parti ditunjangi Anwar mampu mencetuskan pergeseran antara Umno dan PKR, yang kedua-duanya antara komponen utama dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, Anwar mesti papar keberanian menangani pertembungan berkenaan dan memastikan persefahaman asas gabungan perpaduan tidak terjejas hanya disebabkan seorang daripada pemimpinnya beralih arah kepada parti sekutu lain.
“Jika perdana menteri fikir wajar dilakukan rombakan besar-besaran, buatlah. Tetapi, beliau kena bertindak berani, walaupun menukar portfolio antara parti, justeru satu-satu parti tidak boleh menuntut kedudukan menteri sebagai haknya semata.
“Ini berkemungkinan ujian terbesar sebagai pemimpin kerajaan yang menekankan perpaduan sebagai ciri utamanya,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia, berkata cabaran besar Anwar adalah mencari calon bersesuaian mengisi jawatan menteri di bawah kuota PKR.
Katanya, Tengku Zafrul sekadar ‘menteri sementara’ jika tidak digugurkan daripada rombakan Kabinet, mengambil kira tempoh senator berakhir hujung tahun ini.
“Anwar sedang berdepan kesukaran mencari calon sesuai mengisi kekosongan menteri dalam kalangan sejumlah pemimpin PKR,” katanya.
Fauzi berkata, PRK di kawasan bercampur yang selesa boleh dipanggil untuk membolehkan Tengku Zafrul dipilih Ahli Parlimen, justeru kekal menteri dengan kemungkinan ada pihak anggap langkah itu tidak beretika walaupun dibenarkan.
“Satu-satunya isu dengan perkara itu adalah populariti Anwar yang makin merosot dalam kalangan akar umbi PKR susulan apa yang berlaku kepada Rafizi, dan kelemahan akar umbi Tengku Zafrul di mana berkemungkinan orang akan mempersoal mengapa perlu dibuat pengorbanan deminya.”
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan Kabinet pada Rabu susulan kekalahan mereka dalam pemilihan pimpinan pusat PKR, masing-masing tumbang sebagai timbalan presiden dan naib presiden.
Dua hari kemudian, Tengku Zafrul mengumumkan keluar Umno dan menyuarakan hasrat masuk PKR dengan menyatakan ia sudah dimaklumkan kepada Anwar yang juga presiden.
Ia mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pimpinan Umno sambil mereka mengingatkan PKR tidak menerima keanggotaan Tengku Zafrul, termasuk menyerunya berundur sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri.
Presiden Umno Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri, juga menggesa Anwar memastikan Umno kekal dengan kuota tujuh menteri dalam Kabinet.
Fauzi yakin perkara itu dapat diselesaikan pada peringkat Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan, sambil menambah hubungan ‘mentor-mentee’ Anwar dan Zahid, yang menjadi tunjang kerajaan perpaduan.
Meskipun perdana menteri perlu menguruskan optik berkenaan di mata ahli Umno, Fauzi berkata Anwar mungkin berdepan kesukaran lebih besar meredakan kekecewaan ahli partinya selepas penyingkiran Rafizi, atas persepsi presiden PKR itu mempunyai peranan dalam perkara tersebut.
Namun, Asrul tidak menjangka ahli Umno terutamanya terkesan dengan tindakan Tengku Zafrul, sambil menyatakan jawatan menteri menjadi faktor terbesar kepada parti.
“Pemergiannya tidak mungkin memberi kesan besar kepada Umno memandangkan Tengku Zafrul tidak popular dalam kalangan akar umbi dan pemimpin tempatan parti,” katanya.