Polis kenal pasti seorang lelaki bergaduh di plaza tol

Polis kenal pasti seorang lelaki bergaduh di plaza tol

Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou berkata polis kini sedang mengesan lelaki warga tempatan itu.

gaduh di tol bukit tambun
Tangkap layar video tular memaparkan pertengkaran antara dua lelaki di Plaza Tol Bukit Tambun, yang salah seorangnya cuba menyerang dengan senjata.
PETALING JAYA:
Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki yang dikenalpasti terlibat dalam kejadian pergaduhan di Plaza Tol Bukit Tambun di Nibong Tebal yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou berkata ketika ini pihaknya berusaha mengesan lelaki tempatan berkenaan dan seorang lagi individu yang terlibat sedang dikenal pasti, lapor Bernama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugut jenayah,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Semalam, media melaporkan polis menerima dua laporan berkaitan pergaduhan membabitkan dua lelaki di plaza tol berkenaan selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Video berdurasi 28 saat itu memaparkan pertengkaran antara dua lelaki dengan seorang daripada mereka yang hanya berkain pelekat dan bertopi dilihat cuba menyerang menggunakan senjata sebelum kedua-dua mereka ditenangkan seorang individu yang berada di situ.

Kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham melibatkan pelanggaran kenderaan dari belakang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.