PKR atur ‘drama’, ‘langkah politik’, dakwa ketua penerangan Umno Kedah

PKR atur ‘drama’, ‘langkah politik’, dakwa ketua penerangan Umno Kedah

Komen tokoh PKR seperti Amirudin Shari dan Kamil Munim berkait Tengku Zafrul Aziz seperti ia dirancang, diolah, dan dirayakan.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin tuntut ‘kejanggalan drama’ libat Tengku Zafrul Aziz dihenti, selain enggan melihat Umno jadi bahan mainan skrip politik pihak lain.
PETALING JAYA:
Umno Kedah tidak senang dengan apa didakwa ‘drama’ dan ‘langkah politik PKR’ susulan keputusan Tengku Zafrul Aziz keluar Umno.

Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata nada Naib Presiden PKR Amirudin Shari sehinggalah kepada Ketua Pemuda PKR Kamil Munim menunjukkan seperti ia adalah sesuatu ‘dirancang, diolah, dan dirayakan’.

“Siri kenyataan daripada tokoh-tokoh PKR seolah-olah memberi mesej terus ke muka Umno bahawa adab dalam bekerjasama itu tidak penting dan bahawa langkah-langkah politik boleh diatur tanpa mengambil kira sensitiviti rakan kongsi utama dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menuntut kejanggalan drama melibatkan Tengku Zafrul dihentikan demi kelangsungan sebuah kerjasama politik yang stabil, jujur, dan ikhlas.

“Kita tidak boleh terus mengorbankan prinsip hanya kerana mahu mengekalkan kuasa. Umno bersedia bekerjasama, tetapi bukan menjadi bahan mainan dalam skrip politik pihak lain.”

Hazizy turut menyifatkan Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan, dan industri ‘pelancong politik kelas pertama’.

Semalam, Amirudin yang juga menteri besar Selangor berkata penyertaan Tengku Zafrul diyakini dapat memperkukuh pasukan PKR.

Turut senada, Kamil yang juga setiausaha politik menteri Kewangan, menyuarakan penyertaan tokoh korporat itu mampu memberi nilai tambah kepada parti.

Kelmarin, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan ketua bahagian Kota Raja dan berhasrat menyertai PKR.

Namun, Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan keanggotaan rasmi daripada Tengku Zafrul.

Katanya, permohonannya jika ada perlu melalui proses biasa, selain mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk pandangan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.