Utama jemaah haji kali pertama, kerajaan diberitahu

Utama jemaah haji kali pertama, kerajaan diberitahu

Pertubuhan seru jemaah kali pertama diutamakan berbanding golongan mampu bayar kerana ramai dalam senarai menunggu.

kaabah mekah haji
Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji sebanyak 31,600 bagi jemaah Malaysia tahun ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kerajaan diseru mengutamakan jemaah kali pertama berbanding golongan mampu bayar untuk mengisi kuota Tabung Haji, termasuk  diberi Arab Saudi pada saat akhir.

Pertubuhan Asean Umrah dan Haji berkata, jemaah kali pertama wajar diutamakan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu berbanding golongan mampu bayar kerana ramai dalam senarai menunggu.

Presiden Mohd Khalid Harun berkata, mengutamakan jemaah kali pertama akan mempercepatkan tempoh menunggu selain mengurangkan risiko pemergian ke Tanah Suci tanpa visa haji.

“Mana-mana individu yang pernah pergi haji tak perlu disenaraikan dalam kuota haji. Utamakan mereka yang tak pernah pergi lagi,” katanya kepada FMT.

Khalid yang juga presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia turut menyeru Tabung Haji memupuk ketelusan dengan menyenaraikan individu yang menggunakan kuotanya.

Selain itu, beliau menyarankan pemberian status ‘Pengelola Jemaah Haji’ kepada syarikat yang berpengalaman menguruskan umrah diperbanyakkan.

“Kami bersedia untuk berbincang dengan Tabung Haji dan kerajaan supaya lebih ramai rakyat kita boleh pergi haji,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid mencadangkan kerajaan menggalakkan pakej mujamalah yang diurus oleh syarikat swasta bagi rakyat yang ingin menunaikan ibadat tersebut buat kali kedua dan seterusnya.

Pakej mujamalah merujuk kepada haji menggunakan visa yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi kepada agensi terpilih tanpa menggunakan kuota Tabung Haji.

“Ia sekali gus tak menganggu kuota Tabung Haji dan mereka yang menunggu giliran kali pertama,” katanya.

Khalid mencadangkan beberapa langkah untuk menjaga kepentingan jemaah haji bagi pakej mujamalah.

“Syarikat kena dapatkan kuota dulu dari kerajaan Arab Saudi kemudian baru jual pakej kepada orang nak pergi. Selagi visa tak dapat syarikat tak boleh ambil bayaran penuh dengan pelanggan,” katanya.

Katanya, syarikat mesti memastikan penginapan dan perkara berkaitan selesai ditempah untuk dapatkan visa berkenaan.

“Dengan cara itu ia lebih selamat dan tidak ada tertipu oleh syarikat,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia menyeru kerajaan mempermudahkan urusan rakyat yang mahu menunaikan haji.

Semalam, kerajaan beri amaran kepada rakyat yang tiada visa haji daripada kerajaan Saudi supaya tidak melakukan ibadat itu, bagi mengelak risiko hilang kuota haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, berkata sebelum ini 14 negara dihalang daripada mendapat visa umrah sebab terlalu banyak pelanggaran oleh rakyat mereka.

“Pelbagai cara boleh digunakan bagi membantu jemaah,” kata Presiden Razali Mohd Sham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.