Malaysia ‘contoh terbaik’ urus jemaah haji, kata Arab Saudi

Malaysia ‘contoh terbaik’ urus jemaah haji, kata Arab Saudi

Kejayaan itu hasil pelaksanaan program latihan haji dan umrah yang sistematik oleh Tabung Haji, kata menteri Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kejayaan kerajaan Malaysia dalam pengurusan jemaah haji melalui Tabung Haji boleh menjadi model terbaik untuk dicontohi dan diterapkan oleh negara lain.

Perkara itu diperakui Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah yang menyifatkan kejayaan itu hasil pelaksanaan program latihan haji dan umrah yang sistematik, serta kecekapan sistem simpanan wang kendalian Tabung Haji.

“Ini semua demi memastikan jemaah haji Malaysia mempunyai pengalaman yang cukup bagi memudahkan mereka menunaikan haji dengan tenang dan yakin.

“Sebagai model global (Malaysia) yang patut dicontohi, saya amat gembira mengetahui tentangnya,” katanya di platform media sosial, X.

Beliau kini dalam rangka lawatan ke Malaysia bermula Isnin hingga esok bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

Ketika di Malaysia, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar semalam.

Dalam pertemuan itu, Mohd Na’im membangkitkan beberapa perkara penting, termasuk permohonan menambah kuota jemaah haji Malaysia bersesuaian dengan populasi rakyat Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.