
Berkata dalam ucap tama Forum Pendidikan Melayu dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, berkata guru Melayu perlu menjadi pencetus idea, tempat rujukan masyarakat, intelektual awam, advokasi serta penggerak dan pemimpin masyarakat, termasuk dalam politik Melayu.
“Sejarah orang Melayu moden, termasuk politik dan gerakan menuntut kemerdekaan, telah ditandai dengan peranan dan sumbangan amat besar guru-guru Melayu. Terdapat guru menjuarai gerakan pendidikan, bahasa, kesusasteraan, dan kebudayaan Melayu. Terdapat guru yang aktif dalam parti-parti politik Melayu.
“Dulu, dengan peranan besar guru-guru, ia dikenali sebagai ‘parti berjuang’. Tetapi, kini, apabila peranan guru-guru berkurangan, ia dikenali sebagai ‘parti berwang’.”
Saifuddin, yang mengetuai biro pendidikan PN, berkata mesti terlibat secara bermakna dalam proses membuat keputusan di semua peringkat – daripada sekolah hinggalah ke Kementerian Pendidikan.
Untuk menyokong guru dengan lebih baik, beliau menekankan pengeluaran guru pakar bidang, memperbanyakkan jumlah dana pendidikan, meningkatkan mutu skim perkhidmatan, dan meringankan beban guru dengan menambah jumlah guru pembantu serta kerani.
Katanya, idea tersebut menjadi sebahagian Cadangan Reformasi Pendidikan (CRP) PN, yang disiapkan pada Mac tahun lalu.
Pelan berkenaan menggariskan reformasi dalam falsafah dan dasar; aliran, sistem, kurikulum dan kokurikulum; sumber manusia; penghakupayaan dan kebolehpasaran pelajar; dan perundangan dan governans.