
PETALING JAYA: Konsensus Nasional Baharu dicadangkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin perlu dirangka komponen menegakkan inklusiviti dan menidakkan diskriminasi, kata seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata cadangan dikemukakan timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sangat bermakna kerana menyatukan semua kelas politik dan masyarakat sivil, terutama rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
Menurut bekas menteri luar itu, komponen menegakkan inklusiviti dan menidakkan diskriminasi perlu menyokong kerangka terbabit, berasaskan nilai murni agama, pengalaman sejarah dan kebudayaan serta tonggak negara bawah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Menegakkan inklusiviti bermaksud meningkatkan penghayatan ‘rakan pembangunan’ dan ‘perundingan’ antara tiga sektor utama pembangunan, iaitu politik-kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil dalam membuat keputusan.
“Perlu wujud politik baharu berasaskan perjuangan pelbagai kaum, moderat (kesederhanaan) dan pertengahan (centrist) serta mengurangkan perbezaan-perbezaan terlalu tajam,” kata pemimpin PN itu dalam komentar di Sinar Harian.
Dalam konteks itu, Saifuddin berkata, sektor awam perlu memperkasa diri dengan komitmen, kepakaran dan teknologi, manakala komuniti perniagaan perlu meningkatkan daya saing bagi menyokong pertumbuhan Malaysia sebagai negara perdagangan.
“Kerajaan perlu memfasilitasi sektor perniagaan dengan menjadi ‘pemegang saham’, bukannya ‘pemungut cukai’ semata-mata.
“Masyarakat sivil perlu lebih profesional. Dunia kesukarelaan telah ditambah nilai dengan pendekatan baharu (ekonomi solidariti sosial, keusahawanan sosial),” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.
Bagi komponen menindakkan diskriminasi, Saifuddin berkata, ia membawa maksud tidak ada sesiapa yang tertinggal, terpinggir atau kurang dikhidmat.
“Lebih khusus lagi, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina,” katanya.
Pada 22 Mei lalu, Hamzah dalam forum di Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura membentangkan visi PN berhubung Konsensus Nasional Baharu untuk mengatasi perpecahan politik dan sosial, serta merintis jalan ke arah kemakmuran masa depan Malaysia.
Beliau mencadangkan konsensus itu dibina atas tiga ‘teras utama’ – matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus penuh ihsan.