Ketua pembangkang cadang ‘konsensus nasional baharu’ untuk Malaysia

Ketua pembangkang cadang ‘konsensus nasional baharu’ untuk Malaysia

Hamzah Zainudin berkata Perikatan Nasional bersedia memimpin negara berteraskan matlamat serta kemakmuran bersama dan tadbir urus penuh ihsan.

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin berkata Malaysia mesti menolak ‘politik dendam’ dan menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membentangkan visi Perikatan Nasional (PN) berhubung ‘konsensus nasional baharu’ untuk mengatasi perpecahan politik dan sosial, serta merintis jalan ke arah kemakmuran masa depan Malaysia.

Bercakap di Institut ISEAS–Yusof Ishak di Singapura hari ini, timbalan pengerusi PN itu berkata konsensus itu tidak boleh terhad kepada satu kaum, satu agama atau satu wilayah, tetapi ‘menyatukan kelas politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat.

Beliau mencadangkan konsensus itu dibina atas tiga ‘teras utama’ — matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus yang penuh ihsan.

Menyentuh tentang matlamat bersama, Hamzah berkata: “Malaysia mesti melangkaui era politik kelangsungan hidup. Kita mesti menolak politik dendam dan menghidupkan semula semangat kenegaraan bersama.”

Mengenai kemakmuran bersama, beliau menyatakan matlamat pembangunan Malaysia perlu ditakrif semula supaya masyarakat dapat dibentuk supaya tiada komuniti dipinggirkan.

“Kita tidak boleh menjadikan Malaysia yang menentukan kualiti hidup seseorang mengikut warna kulit dan kod poskod,” katanya.

Hamzah turut menegaskan konsensus baharu itu mestilah berasaskan kepada tadbir urus penuh ihsan, berteraskan keprihatinan, nilai kemanusiaan dan bermaruah.

Timbalan presiden Bersatu itu turut menyeru semua rakyat dilayan sebagai rakan kongsi dan bukannya dipinggirkan atau dianggap beban.

Vivian Balakrishnan
Hamzah Zainudin telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, di republik itu semalam. (Gambar Facebook)

Minyak, air tidak boleh bercampur

Menjelaskan keputusan partinya keluar Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan pada 2018, Hamzah berkata pentadbiran dipimpin Dr Mahathir Mohamad ketika itu runtuh akibat perbalahan dalaman dan ketiadaan kepercayaan antara parti komponen iaitu Bersatu, PKR dan DAP.

“Ia juga membuktikan ketidakfungsian mendalam dalam PH: tiada konsensus akibat perbezaan asas dan ideologi — sesuatu yang memang dijangka gagal sejak awal. Seperti yang sering dikatakan: Minyak dan air tidak boleh bercampur.”

Beliau berkata pentadbiran diterajui PN pada 2020 telah memimpin negara dengan baik.

“Di bawah pimpinan PN, ekonomi Malaysia bukan sahaja bertahan, malah mula pulih. Menjelang 2022, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7% — yang tertinggi di ASEAN.

“Hasilnya, kadar pengangguran menurun daripada 5.3% pada Mei 2020 kepada 3.6% pada akhir 2022, dan komuniti perniagaan kembali yakin,” kata Hamzah, yang ketika itu menjawat jawatan menteri dalam negeri di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob.

Pilihan Raya 2022 & prestasi PN

Beliau berkata prestasi gabungan itu telah membawa kepada keputusan PRU15 pada November 2022 yang dianggap ‘bersejarah’ kerana tiada satu pun daripada tiga gabungan, Barisan Nasional (BN), PH dan PN memperoleh kerusi mencukupi membentuk kerajaan.

“PN telah ditawarkan peluang untuk membentuk kerajaan bersama PH dan BN — satu gabungan yang luas yang dari segi bentuk dan kandungan, boleh menjadi kerajaan perpaduan sebenar.

“Namun PN memilih menolak kerana gabungan sebegitu hanyalah satu lagi ‘perkahwinan demi kepentingan’, yang pasti akan gagal, sama seperti kegagalan PH 1.0 pada tahun 2020.”

‘PN mengatasi saingan’

Hamzah berkata PN yang memenangi 74 kerusi Parlimen pada PRU15 tahun 2022 secara konsisten telah mengatasi saingan dalam pilihan raya berikutnya.

Beliau juga menyatakan gabungan itu telah memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam enam pilihan raya negeri tahun berikutnya, seterusnya membentuk kerajaan di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Gabungan itu turut membuat kemajuan ketara di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.