
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut mengumumkan penahanan dua lelaki warga Taiwan yang disyaki ahli kimia dan penjaga stor sindiket, dalam serbuan waktu malam itu.
Pemangku Pengarah Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata nilai dadah yang dirampas mencecah RM3.29 juta.
“Pemeriksaan menemui 20 bekas plastik dan enam botol mengandungi cecair vape dadah seberat lebih 103 kilogram bersama pelbagai peralatan pemprosesan dadah,” katanya lapor Berita RTM.
“Siasatan awal mendapati setiap kartrij dadah itu dijual pada harga sekitar RM180 di pasaran tempatan, manakala boleh mencecah RM400 di luar negara. Dadah yang dirampas berupaya menjejaskan kesihatan lebih 441,000 pengguna, khususnya remaja.”
Menurut polis, sindiket menyewa unit kondominium di Brickfields itu pada kadar RM4,100 sebulan dan sering berpindah lokasi serta menukar pekerja upahan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Suspek direman tujuh hari hingga 4 Jun bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Semakan mendapati mereka memiliki rekod jenayah berat di Taiwan termasuk kes bunuh dan pengedaran dadah.
“Kami kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Taiwan termasuk Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminal Investigation Bureau (CIB) untuk menjejak baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas,” katanya.