Hukuman ‘ringan’ Leissner mungkin hantar mesej salah, kata Johari

Hukuman ‘ringan’ Leissner mungkin hantar mesej salah, kata Johari

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB berkata, peluang hantar mesej bahawa jenayah kolar putih bawa akibat serius dilepaskan.

JOHARI_ABDUL_GHANI
Johari Abdul Ghani berkata, hukuman 2 tahun penjara terhadap Tim Leissner terlalu ringan jika dibandingkan dengan skala dan keseriusan jenayah dilakukannya.
PETALING JAYA:
Hukuman ringan dua tahun penjara terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, atas peranannya dalam skandal 1MDB berisiko menghantar mesej yang salah kepada institusi kewangan global, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, institusi seperti Goldman Sachs diamanahkan menjaga kepentingan negara-negara berdaulat.

“Namun, bukannya (mereka) mencegah salah laku, sebaliknya membiarkan perbuatan salah itu berlaku sehingga Malaysia terpaksa menanggung kerugian kewangan dan kerosakan reputasi,” kata Johari.

Beliau berkata, hukuman terhadap Leissner merupakan ‘peluang untuk menghantar mesej global yang jelas dan tegas bahawa jenayah kolar putih akan berdepan akibat yang serius’.

Malangnya, menurut Johari, peluang itu dilepaskan.

Leissner, bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, mengaku bersalah pada 2018 atas konspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika Syarikat, dan penyertaan dalam konspirasi pengubahan wang haram, semuanya berkaitan dengan peranannya dalam skandal 1MDB.

Semasa dijatuhi hukuman pada Khamis, beliau seikhlasnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia, menyatakan beliau telah kehilangan kebebasan, keluarga dan kemandirian kewangannya susulan skandal itu.

Bagaimanapun, Johari berkata, hukuman ringan yang dijatuhkan ke atas Leissner – walaupun kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 25 tahun – adalah terlalu ringan, dibandingkan dengan skala dan keseriusan jenayah dilakukannya.

“Leissner antara dalang utama dalam salah satu skandal kewangan paling serius di dunia, mengakibatkan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB,” katanya.

“Dia memainkan peranan penting dalam membolehkan penipuan itu (berlaku), menyalahgunakan kedudukannya dan reputasi salah sebuah institusi kewangan terkemuka di dunia untuk melaksanakan skim ini.”

Johari juga menegaskan, kerajaan Malaysia masih mempunyai pertikaian yang belum selesai dengan Goldman Sachs, berhubung jaminan pemulihan aset bernilai USD1.4 bilion (RM6 bilion) daripada perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 2020.

“Perkara ini masih dalam proses timbang tara. (Hukuman ringan Leissner) ini tambah mengecewakan orang ramai dan mengukuhkan persepsi bahawa individu berkuasa boleh terlepas, (hanya) menanggung akibat yang minimum,” katanya.

Pada November tahun lepas, Anwar Ibrahim menuntut Goldman Sachs mematuhi perjanjian penyelesaian yang dimeterai dengan Putrajaya.

Johari juga sebelum ini berkata, kekurangan kejelasan dalam perjanjian penyelesaian yang dimeterai ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin membolehkan bank itu mengelak tanggungjawab penuh terhadap Malaysia.

Katanya, bank pelaburan berpangkalan di New York itu mengambil kesempatan ke atas ketaksaan dalam dokumen tersebut untuk mengelak jaminan pemulihan aset yang diberikan kepada kerajaan bawah perjanjian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.