
Hakim Aliza Sulaiman menganugerahkan jumlah itu sebagai ganti rugi am dan teruk—RM200,000 bagi setiap hantaran fitnah. Mahkamah turut memerintahkan Kamarul membayar kos guaman RM80,000.
Bagaimanapun, hakim menolak permintaan Yeoh untuk permohonan maaf secara terbuka dengan menyatakan ‘sebarang permohonan maaf tidak akan ikhlas’.
Dalam penghakimannya, Aliza berkata hujah Kamarul bahawa Yeoh tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman adalah tidak berasas, menyatakan beliau berpuas hati plaintif memenuhi beban pembuktian berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Saya berpuas hati plaintif telah membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa penerbitan pertama dan kedua adalah bersifat fitnah kerana ia memberi gambaran beliau merupakan ancaman kepada Islam dan menggunakan kedudukannya untuk ‘mengkristiankan’ negara.
“Dalam negara berbilang kaum dan agama di mana isu agama amat sensitif, kenyataan sebegitu sudah tentu akan mendedahkan plaintif kepada kebencian, ejekan dan penghinaan,” katanya.
Aliza turut memutuskan defendan gagal membuktikan pembelaan justifikasi, ulasan adil, dan keistimewaan bersyarat.
“Walaupun pembelaan ulasan adil dan keistimewaan bersyarat diterima, plaintif mengemukakan butiran niat jahat dalam balasan kepada pembelaan, dan pada pendapat saya, plaintif telah membuktikan berdasarkan keseimbangan kebarangkalian bahawa defendan bertindak dengan niat jahat,” katanya.
Yeoh yang juga menteri belia dan sukan memfailkan saman itu pada 2022 berhubung hantaran Facebook oleh Kamarul.
Salah satu hantaran itu adalah artikel bertajuk ‘Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP di Malaysia’ manakala satu lagi ialah laporan polis dibuat terhadapnya yang kemudian dikongsi secara dalam talian.
Yeoh mendakwa, Kamarul dalam kedua-dua dokumen itu menuduhnya ‘menyebarkan agama Kristian melalui politiknya’, mempromosikan ‘agenda Kristian’, dan berniat ‘menukar Malaysia menjadi negara Kristian’.
Beliau menegaskan, kenyataan itu adalah menghina, tidak benar, dan cubaan berniat jahat untuk merosakkan reputasinya.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Yeoh berkata keadilan ditegakkan selepas bertahun dia difitnah berulang kali.
“Saya harap selepas ini tiada siapa lagi yang akan mengapi-apikan sentimen agama dan menyebarkan fitnah mengenai saya.”