Zaid, 2 lagi kalah saman fitnah terhadap Badan Peguam

Zaid, 2 lagi kalah saman fitnah terhadap Badan Peguam

Mahkamah Tinggi juga tidak benarkan tuntutan konspirasi untuk mencederakan dan melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Mahkamah Tinggi memutuskan Zaid Ibrahim dan dua lagi gagal membuktikan kes ke atas defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak saman libel difailkan Zaid Ibrahim dan dua lagi terhadap kenyataan bekas presiden Badan Peguam atas tindakan mereka semasa rayuan terakhir Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Roz Mawar Rozain, berkata bekas menteri undang-undang, Liew Teck Huat, dan Rueben Mathiavaranam yang semuanya peguam gagal membuktikan kes mereka ke atas defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Kenyataan tersebut tidak menjatuhkan reputasi mereka di mata orang biasa,” katanya dalam penghakiman.

Beliau juga menolak tuntutan plaintif berkait konspirasi untuk mencederakan dan melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Peguam Andrew Chiew, mewakili Badan Peguam dan Presiden Karen Cheah, tidak menuntut kos.

“Kami menghulurkan perdamaian dan berharap perkara ini berakhir di sini,” katanya.

Roz Mawar berkata, walaupun defendan berbesar hati, namun tiada apa boleh menghalang pihak plaintif daripada memfailkan rayuan terhadap kes itu.

Zaid, Liew, Mathiavaranam pada 30 Sept 2022, memfailkan saman itu ke atas badan itu dan Cheah atas dakwaan memfitnah mereka dalam tindakan mengenai rayuan berkenaan.

Mereka mendakwa bahawa satu kenyataan media, di mana dikeluarkan Cheah pada 19 Ogos 2022, bertajuk ‘Abuse of process brings disrepute to our justice system’, menggambarkan mereka telah ‘menjejaskan sistem keadilan melalui strategi tidak beretika’.

Kenyataan tersebut diterbitkan beberapa pertubuhan media pada hari sama, kata mereka.

Plaintif berkata, kata-kata dalam kenyataan media itu dirancang untuk ‘memperlekeh, memburuk, dan menjatuhkan’ dalam kapasiti profesional mereka sebagai peguam bela dan peguam cara mengendalikan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 25 Julai 2022, Najib melantik firma Zaid menggantikan Shafee & Co sebagai peguam cara dalam rayuan terakhir kes jenayah SRC International di Mahkamah Persekutuan, dengan Hisyam Teh Poh Teik menggantikan Shafee Abdullah sebagai peneraju.

Roz Mawar berkata, kenyataan media memang menyebut plaintif dan telah diterbitkan, namun mereka tidak berjaya membuktikan kata-kata tersebut dalam maksud semula jadi dan biasa, bersifat memfitnah.

Katanya, plaintif sendiri sebelum penerbitan utu telah membuat pelbagai pendedahan umum, termasuk wawancara media, hantaran di media sosial, dan ulasan.

“Mereka mengakui ketidaksediaan mereka, mengkritik peguam sebelum ini dan memohon penangguhan yang akhirnya ditolak Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Roz Mawar mendapati menjelang 19 Ogos 2022, kedudukan reputasi plaintif telahpun dibentuk oleh fakta-fakta yang berada dalam domain awam.

Katanya, mahkamah juga mendapati tiada keterangan menyokong dakwaan plaintif berkait konspirasi untuk mencederakan.

“Tiada tindakan pelanggaran (kewajipan statutori) atau kerugian khusus yang boleh dituntut yang terbukti berpunca daripada pelanggaran itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.