
Dalam satu surat kepada ketua setiausaha KKM semalam, JPA berkata tarikh baharu untuk pelaksanaan sistem tersebut ditetapkan pada 1 Ogos ini.
Ia menegaskan bahawa lanjutan tersebut adalah yang terakhir dan semua hospital perlu mematuhi pekeliling JPA berkenaan waktu kerja baharu.
“Setelah berakhirnya tempoh interim tersebut pihak KKM hendaklah memastikan perlaksanaan waktu bekerja syif dipatuhi. KKM perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dari masa ke semasa,” kata surat itu.
Bagaimanapun, JPA berkata lanjutan ini tidak bermakna fasiliti kesihatan yang telah merangka pelan untuk waktu syif baharu tidak boleh melaksanakannya.
“Semoga dengan kelulusan ini membolehkan kementerian merangka dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya untuk memastikan perlaksanaan waktu bekerja syif adalah teratur dan mengikut peraturan yang berkuatkuasa,” katanya.
Pada awalnya, JPA meluluskan tempoh tiga bulan bermula 1 Dis tahun lalu, untuk hospital membuat persediaan bagi pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu.
Kemudiannya, KKM memohon dan menerima kelulusan untuk melanjutkan moratorium tersebut dari 1 Mac hingga 31 Mei. Minggu lalu, ia dilanjutkan sekali lagi sehingga 1 Jun.
Kesatuan Jururawat Malaya membantah keras tambahan tiga jam seminggu itu dengan mengatakan bahawa jururawat wad sudah pun berada di bawah tekanan tinggi dengan bekerja selama 42 jam seminggu.