SKMM siasat TikTok Live siar Jalur Gemilang dipijak

SKMM siasat TikTok Live siar Jalur Gemilang dipijak

Difahamkan video distrim dari Sri Lanka.

bakar bendera malaysia tiktok
Video TikTok Live berada dalam talian selama lebih daripada empat jam.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk meneliti video TikTok Live di mana orang dilihat memijak Jalur Gemilang.

Difahamkan, video yang distrim dari Sri Lanka dan berada dalam talian selama lebih empat jam itu sebahagian daripada perang siber antara pembuli siber di Malaysia dan Sri Lanka.

“Ini melampau. Saya telah maklumkan SKMM,” kata Fahmi kepada FMT.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian SKMM, Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, berkata ia sedang menyiasat video itu dan berusaha untuk sekat akses kepada siaran langsung.

“Kami memantau perkara ini dan telah menghubungi TikTok,” katanya kepada FMT.

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), yang maklumkan FMT tentang video itu, berkata ketegangan meletus selepas pengguna Malaysia dan Sri Lanka berbalas kenyataan berbaur perkauman, berkongsi kandungan yang menyinggung agama, dan menyasarkan wanita semasa siaran langsung yang ditonton secara meluas.

Menurut GHRF, kejadian bermula apabila seorang warga Sri Lanka yang menetap di Kuwait dilihat membakar bendera Malaysia semasa sesi TikTok secara langsung yang dihoskan melalui akaun palsu.

Sesi itu, yang ditonton oleh kira-kira 300 pengguna, kemudian dipenuhi ucapan kebencian, kelucahan, dan cemuhan terhadap penonton Malaysia yang menyelar kelakuan itu, menurut wakil GHRF.

GHRF berkata permulaan perang siber itu boleh dikesan pada hari sebelumnya, apabila seorang pengguna TikTok Malaysia didakwa memuat naik gambar wanita Sri Lanka, termasuk imej peribadi atau rawak, dalam apa yang kelihatan seperti tindakan untuk memalukan di khalayak atau trolling.

Pengguna Sri Lanka membalas dengan menyiarkan imej rawak wanita Malaysia, berserta ancaman seksual, komen kesat dan gangguan lain.

Walaupun ratusan penonton melaporkan strim itu, TikTok membalas dengan mesej automatik menyatakan tiada pelanggaran garis panduan komuniti, menurut GHRF.

“Ini bukan sekadar ‘drama media sosial’, ia adalah isu hak asasi manusia dan keselamatan negara,” kata GHRF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.