
Muhyiddin berkata, beliau ‘anggap’ khidmat guaman Haniff kepada Bersatu sejak penubuhannya sembilan tahun lalu adalah secara pro bono.
Katanya, Haniff mungkin telah menghantar invois dan peringatan susulan kepada Bersatu antara Januari dan Mac 2021 bagi jumlah RM12.5 juta, namun sambil menyatakan ‘saya tidak menerimanya’.
“Pada masa itu, saya sibuk menguruskan negara berdepan dengan pandemik (Covid-19),” katanya dengan menambah perihal parti diuruskan pemegang jawatan dalam parti, seperti setiausaha agung dan setiausaha eksekutif.
Muhyiddin juga mengakui bahawa Haniff mewakili Bersatu dalam beberapa kes sivil sebelum PRU 2018.
Menjawab soalan peguam Haniff, Nizamuddin Hamid, sama ada beliau atau mana-mana pemimpin Bersatu lain pernah membantah Haniff mewakili parti itu di mahkamah, bekas perdana menteri itu berkata tiada bantahan ada dibangkitkan.
Nizamuddin: Haniff berkata anda bertemunya (pada 2018) untuk berbincang bayaran guaman. Adakah pertemuan itu ada berlaku?
Muhyiddin: Ia tidak berlaku.
Ketika Hakim Akhtar Tahir bertanya kepada Muhyiddin mengapa Bersatu tidak beri maklum balas kepada invoice Haniff, beliau berkata jika parti berbuat demikian, ia kelihatan perkara itu dipersetujui bahawa bayaran guaman perlu dibayar.
“Kami sangka khidmat beliau (Haniff) dibuat secara pro bono. Tiba-tiba, tanpa sebarang petanda, beliau keluarkan bil.
“Kami rasa bahawa kami tidak perlu buat apa-apa, dan biarkan mahkamah menentukan,” katanya.
Haniff memfailkan saman pada 2021, menuntut RM12.5 juta bayaran guaman daripada Bersatu, yang dinamakan sebagai defendan pertama, bagi khidmat guaman.
Beliau juga menamakan Muhyiddin, Timbalan Presiden Bersatu Hamid Zainudin, dan Bendahari Salleh Bajuri sebagai defendan bersama.
Haniff mendakwa sebelum mengemukakan saman itu, beliau telah mengeluarkan invois kepada Bersatu bagi khidmatnya, namun tidak menerima maklum balas.
Dalam pembelaan, Bersatu mendakwa Haniff menyediakan khidmat guaman berdasarkan pro bono, bermula 2016 hingga 2020.
Pendengaran bersambung 3 Jun.