
Dalam kenyataan, TNB berkata penggunaan sektor komersial berkembang 5.1%, sebahagian besar dipacu peningkatan industri berteraskan tenaga seperti pusat data.
“Sehingga suku pertama 2025, kumpulan telah menguasakan 21 pusat data dan memperoleh 43 perjanjian bekalan, dengan jumlah beban komited sekitar 6.4GW, mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemangkin utama transformasi digital dan industri negara,” menurut kenyataan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata firma berkenaan memberi tumpuan penuh mengekalkan prestasi stabil, sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham.
“Menerusi pengurusan kos berhemah, penyampaian perkhidmatan boleh dipercayai, dan komitmen jelas terhadap pembinaan negara, kami terus memberikan nilai konsisten walaupun berdepan cabaran global berterusan,” katanya.
Kata kenyataan itu, penyusutan ringgit berbanding US dolar daripada RM4.73 pada Mac 2024 kepada RM4.44 pada Mac 2025 membantu melegakan tekanan ke atas perbelanjaan bahan api dan modal, dengan kadar keuntungan tukaran asing menjadi positif disebabkan mata wang lebih kukuh.
Mengembangkan jejak tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa
Firma utiliti telah meluaskan portfolio tenaga boleh baharu antarabangsa menerusi pembangunan ladang solar di Eastfields dan Bunkers Hill, United Kingdom, dijadual mula beroperasi pada suku kedua 2025.
“Projek ini menjadi sebahagian strategi jangka panjang TNB mendapatkan pulangan dalam mata wang asing selain menyokong matlamat peralihan tenaga global. Pulangan dan wawasan daripada usaha antarabangsa itu menyumbang kepada kekuatan kewangan TNB dan usaha peralihan tenaga dalam negara.”
Kembali menyumbang memperkasa komuniti
Sejajar sasaran TNB memacu impak positif dan bermakna kepada masyarakat, syarikat berkenaan memperuntuk 1% keuntungan selepas cukai untuk program memfokuskan pembangunan sosial, pendidikan, alam sekitar, dan sukan. Dalam Q1 2025 sahaja, TNB menyalurkan lebih RM45 juta bagi menyokong inisiatif berteraskan rakyat di seluruh negara.
“Program kami mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam komuniti kami berkhidmat, memastikan tiada anak-anak ketinggalan dalam perjalanan Malaysia menuju ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih inklusif,” kata Pengerusi TNB Abdul Razak Abdul Majid.
Sebahagian besar daripada sumbangan TNB – RM36 juta – disalurkan menerusi penajaan Universiti Tenaga Nasional dan Yayasan Tenaga Nasional, yang telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di seluruh negara.
TNB menyediakan RM1 juta bagi program sokongan kembali ke sekolah ‘Ceria ke Sekolah’ di 40 lokasi bagi membantu 8,000 kanak-kanak kurang bernasib baik, dan RM1.5 juta ketika Ramadan sebagai bantuan makanan dan untuk acara komuniti dan program keagamaan yang memanfaatkan lebih 50,000 orang.
TNB juga memperuntuk hampir RM4 juta kepada lebih 14,000 penerima asnaf, meliputi Projek Baiti Jannati, baik pulih dan pendawaian rumah, sokongan kepada golongan miskin dan tujuan lain, termasuk naik taraf masjid dan surau, sokongan pusat pendidikan, dan banyak lagi.
TNB juga menyediakan hampir RM300,000 bagi penjagaan kesihatan, termasuk peralatan perubatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, sokongan kepada pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin dan inisiatif sokongan kanser oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita, dan untuk Hari Kanser Sedunia 2025.
Syarikat itu juga menyumbang lebih RM300,000 bertujuan membantu lebih 2,000 individu terjejas banjir dan ribut melibatkan beberapa negeri.
Lebih 1,200 Orang Asli di Royal Belum dan Slim River, Perak, juga mendapat manfaat daripada bantuan bersasar sebanyak RM110,000 daripada TNB.
Bagi sukan, TNB memperuntuk lebih RM2.1 juta menyokong pembangunan hoki, menjangkau lebih 5,000 individu, melalui sumbangan kepada Konfederasi Hoki Malaysia, termasuk mendanai latihan, klinik, peralatan, dan banyak lagi.
Selain itu, firma utiliti itu mengembangkan program ‘Sekolah Angkat TNB’ meliputi 50 sekolah di seluruh negara, meningkat daripada 36 sebelum ini, melibatkan pelaburan kira-kira RM2.3 juta.