
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata mangsa membuat laporan semalam dengan mendakwa ditipu sindiket berkenaan yang menjanjikan keuntungan antara lapan hingga 20% dalam masa tujuh hari.
Katanya, mangsa yang tertarik turut diberitahu keuntungan itu akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi P3-DMA miliknya.
“Tertarik dengan janji pulangan tinggi, mangsa telah membuat 11 transaksi berjumlah RM169,500 ke dalam satu akaun bank tempatan antara 3 April hingga 22 Mei 2025.
“Mangsa turut membuat semakan pada aplikasi P3-DMA dan mendapati kononnya jumlah keuntungan terkumpul adalah RM422,662.34.
“Namun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran, transaksi gagal dan suspek masih meminta bayaran tambahan sebanyak RM80,000 untuk memproses pengeluaran tersebut,” katanya, menurut Sinar Harian.
Katanya, mangsa yang menyedari tertipu kemudiannya membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam skim pelaburan palsu.
“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan menerusi perkhidmatan atas talian seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule, serta mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersial menerusi laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.