Hadapi cabaran ekonomi, Asean akan perkukuh perkongsian global

Hadapi cabaran ekonomi, Asean akan perkukuh perkongsian global

Usaha-usaha ini dilihat perkukuh daya tahan Asean, perluas peluang ekonomi, serta mantap posisi dalam perdagangan global dan sebagai hab pelaburan.

ASEAN SUMMIT
Selain perkongsian luar, Asean juga komited untuk memperkukuh daya tahan dalamannya menerusi perdagangan dan pelaburan intra-rantau yang lebih mendalam.
KUALA LUMPUR:
Dalam suasana ketegangan perdagangan global yang kian meruncing dan landskap ekonomi antarabangsa yang tidak menentu, para pemimpin Asean hari ini sekali lagi menegaskan komitmen padu mereka untuk memperluas dan meningkatkan lagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean+1 serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ikrar ini, yang dizahirkan semasa Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung hari ini, menggariskan kesungguhan blok itu untuk mengharungi cabaran-cabaran luaran menerusi perkongsian yang diperkukuh.

Cabaran utama yang dihadapi termasuk kemungkinan pengenaan tarif bersifat menghukum, berkadar antara 10% hingga 46%, oleh Amerika Syarikat (AS), rakan dagangan kedua terbesar blok itu pada 3 April lepas.

Dalam kenyataan bersama, para pemimpin Asean menyifatkan tindakan perdagangan sebelah pihak dan bersifat tindak balas sebagai ‘tidak produktif dan berisiko memburukkan lagi fragmentasi ekonomi global, terutamanya apabila tindakan-tindakan ini mewujudkan kesan tidak langsung terhadap Asean’.

Negara-negara anggota turut berikrar untuk memperdalam kerjasama dengan rakan-rakan kongsi luar sedia ada dan sedang giat mencari perkongsian baharu serta yang sedang pesat membangun, termasuk jalinan antara rantau seperti dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China menerusi sidang kemuncak tiga pihaknya, yang bersidang buat julung kalinya awal hari ini.

Usaha-usaha ini dilihat sebagai memperkukuh daya tahan Asean, memperluas peluang ekonomi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan pelaburan global yang dinamik.

Selain perkongsian luar, Asean juga komited untuk memperkukuh daya tahan dalamannya menerusi perdagangan dan pelaburan intra-rantau yang lebih mendalam. Ini termasuk menyegerakan inisiatif-inisiatif utama dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) dan penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean.

Blok itu menzahirkan keyakinan bahawa langkah ini akan mempertingkat integrasi serantau, melonjakkan kepastian perniagaan dan daya saing, serta memastikan Asean kekal padu dan berdaya suai bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu.

Pada peringkat domestik, negara-negara anggota Asean juga akan mengambil langkah-langkah tersendiri untuk mengurangkan impak tarif yang tinggi, termasuk mewujudkan perlindungan bagi menyokong industri tempatan yang terdedah kepada gangguan perdagangan.

Bercakap pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan berakhir hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, wujud keperluan untuk melindungi kepentingan kira-kira 660 juta penduduk di seluruh rantau ini.

“Mengenai tarif (Amerika Syarikat), dalam pada meneruskan rundingan dua hala, kesepakatan yang dicapai adalah perlu ada suatu bentuk persefahaman dalam kalangan (negara anggota) Asean, dan sebarang keputusan tidak seharusnya dibuat sehingga merugikan negara-negara lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.